Artikel PilihanBuletin

PADA 2002 HONDA CITY (FIT ARIA) DIPERKENAL DI JEPUN (ABANG CITY SEKARANG)

Jika dilihat di atas jalan raya sekarang ini, di antara model Honda yang laku keras ialah City generasi keenam. Model ini sangat berjaya sehingga ia lebih banyak dilihat berbanding Toyota Vios atau Proton Prevé yang jauh lebih murah.

Namun perjalanan model ini tidak mudah, sewaktu City generasi keempat mula diperkenalkan di negara kita reka bentuknya yang lari dari kelaziman menjadi bualan hangat. Tidak menghairankan apabila model pesaing ketat iaitu Vios lebih popular.

Lain pula cerita dengan kembarnya, Jazz, model generasi pertama masih digemari sehingga sekarang dengan harga yang agak tinggi. Usaha Toyota memasarkan Yaris pula tidak berhasil apabila Jazz lebih popular.

Hasilnya ialah seri satu sama, Honda dan Toyota. Satu fakta menarik tentang City ialah ia bermula dengan gayaan badan hatchback pada tahun 1981.

Gaya badan tersebut kemudian berubah pada City generasi ketiga dengan bentuk sedan. Model ini menggunakan pelantar daripada Civic EF.

Honda kemudian merombak susunan modelnya dengan mengeluarkan Jazz generasi pertama dan City atau Fit Aria pada tahun 2001 dan 2002.

Jazz sebenarnya lebih kepada kelahiran semula City generasi pertama dan kedua dengan gaya badan hatchback.

Honda mengumumkan pelancaran City generasi keempat atau Fit Aria pada 29 November 2002. Walaupun dengan reka bentuk yang luar biasa, City hadir dengan pakej menarik.

Kerusi belakang boleh dilaras seperti Jazz, ruang dalaman juga luas manakala saiz but ialah 500L. Sangat sesuai untuk dijadikan kereta keluarga dan dibawa pulang ke kampung.

Sama seperti Jazz, City turut dibina berdasarkan konsep Honda SMALL MAX yang berkongsi juga dengan famili kereta bandar kecil iaitu Mobilio dan Mobilio Spike.

Honda membangunkan City sebagai sebuah sedan kecil yang canggih dan ini boleh dilihat pada saiznya tetapi mampu memenuhi pelbagai gaya hidup pemilik.

Kelebihan ini antaranya dapat dicapai melalui lokasi tangki minyak yang berada di tengah kereta berbanding di bawah but pada kereta lain.

Di Jepun Honda menawarkan dua jenis enjin iaitu 1.3L atau 1.5L i-DSI dengan penggunaan minyak ekonomikal iaitu 20.5 km/l. Padanan transmisi pula ialah CVT Multimatic S dengan tujuh mod kelajuan untuk varian 1.5L dan CVT Multimatic S untuk varian 1.3L.

Satu kewajipan untuk pasaran Jepun ialah pilihan pacuan 4WD atau 2WD yang dipengaruhi oleh faktor cuaca di sana. Honda City dijual pada harga dari 1,198,000 Yen (RM 45,985) hingga 1,593,000 Yen (RM 61,157)

Pada 25 April 2003, Honda Malaysia melancarkan City generasi ketiga ke pasaran tempatan dengan harga RM 78,888.

Jangkaan jualan City tahun itu ialah 5,000 unit yang merupakan jumlah besar 15 tahun lalu dan sebelum dilancarkan secara rasmi sebanyak 500 unit telah ditempah pelanggan.

Pada tahun 2005, Honda melancarkan City facelift di Thailand, Malaysia dan Indonesia. Model yang ini tampak lebih eksekutif dan elegan sebelum digantikan dengan City generasi kelima pada tahun 2008.

Dengan reka bentuk yang tajam dan bersegi (bahagian sisi mengambil konsep anak panah) Honda City generasi kelima berjaya membuka mata ramai. Tiada lagi ‘bau-bau’ Jazz dan dari sinilah City memulakan kejayaannya.

*1 JPY = RM 0.03

BACA: TAHUN 2001 HONDA JAZZ DIPERKENAL DI JEPUN, MODEL IKONIK SAMPAI SEKARANG

BACA: HONDA CITY BLACK STYLE – VARIAN TERBARU GRACE HYBRID DI JEPUN

Google ads
Back to top button