Buletin

PAKAI SELUAR DALAM TAK IKUT SPESIFIKASI, PEMANDU FORMULA E DIDENDA RM48,160!

Hanya kerana memakai seluar dalam yang tidak menepati spesifikasi, seorang pemandu jentera Formula E didenda dengan jumlah wang yang besar.

Pemandu tersebut, Lucas di Grassi didenda sebanyak €10,000 (RM48,160) selepas pengawas perlumbaan mendapati beliau memakai seluar dalam yang tidak mendapat kelulusan keselamatan.

Kesalahan itu dilakukan pada perlumbaan di litar Punta del Este ePrix di Uruguay baru-baru ini. Menurut FIA, siasatan selepas perlumbaan itu mendapati peralatan keselamatan seperti topi keledar, penahan bahagian leher dan baju tiada masalah.

Tetapi, seluar dalam yang dipakai oleh di Grassi dikatakan terlalu pendek. di Grassi memberitahu dia memakai seluar itu kerana cuaca Uruguay yang panas membuatkannya banyak berpeluh dan tidak selesa.

“Memang salah saya dan ia tidak sepatutnya berlaku. Saya tidak pernah memakainya sebelum ini. Saya mengambil keputusan untuk memakai seluar dalam ini kerana panas yang melampau dan tidak terfikir ia akan menjadi satu isu. Saya berjanji akan lebih peka selepas ini,” katanya.

Biarpun dia serta pasukan mematuhi semua aspek keselamatan termasuklah topi keledar, pit stop dan sebagainya, di Grassi turut dikenakan penalti tiga mata ke atas lesen perlumbaannya.

Peralatan keselamatan kalis api menjadi standard perlindungan dalam hampir setiap peringkat sukan bermotor. Selain seluar dalam, pakaian kalis api seperti sarung tangan, blaclava dan stoking wajid dipakai oleh setiap pelumba.

Langkah berjaga-jaga itu diambil kerana sekiranya berlaku kebakaran, gentian sintetik boleh melekat pada kulit dan menyukarkan kerja-kerja merawat dan menyelamatkan mangsa. 

Google ads
Back to top button