PAKATAN RENAULT NISSAN & MITSUBISHI MAHU JUAL 14 JUTA KENDERAAN!

SHARE

Masa akan menentukan di mana letaknya Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi dalam masa terdekat dan akan datang. Sekarang ini ketiga-tiga syarikat itu sudah pun membentuk pakatan automotif terbesar di dunia.

Di atas kertas, gergasi automotif dunia seperti Kumpulan Volkswagen, Toyota Motor Corporation dan General Motors harus berasa risau dengan pakatan ini.

Maju ke hadapan, Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi telah mengumumkan Alliance 2022 yang menggariskan perancangan untuk menggandakan sinergi kepada EURO 10 bilion pada akhir tempoh enam tahun sasaran.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Alliance, Carlos Ghosn berkata, “Hari ini menandakan pencapaian baharu untuk ahli dalam gabungan ini. Menjelang tahun akhir Alliance 2022 kami mensasarkan untuk menggandakan sinergi tahunan kepada EURO 10 bilion.

Bagi mencapai sasaran ini, Renault, Nissan dan Mitsubishi Motors akan meningkatkan kerjasama dalam perkongsian platform, teknologi sambungan dan pemanduan autonomous dan juga nadi kuasa serta teknologi elektrik generasi baharu,.

Pada satu bahagian lagi, sinergi di antara ahli gabungan akan diperhebatkan dengan menambah skala sedia ada. Jangkaan pada penghujung pelan ini nanti ialah jumlah jualan tahunan mencecah 14 juta unit dengan pendapatan sebanyak USD 240 bilion.”

Di bawah pelan Alliance 2022, ahli gabungan akan meningkatkan penggunaan platform dengan sembilan juta unit dihasilkan dari empat perkongsian platform. Pelan ini turut mensasarkan untuk menggunakan berkongsi nadi kuasa sehingga 75 peratus dari jumlah jualan keseluruhan.

Selain itu, pelan tersebut juga menggariskan perancangan besar dalam mengembangkan perkongsian teknologi kenderaan elektrik selain pembangunan dan penggunaan sistem pemanduan autonomous, sambungan kenderaan dan khidmat mobiliti baharu.

Untuk tempoh sehingga 2022, sebanyak 12 kenderaan elektrik bebas emisi akan dilancarkan daripada perkongsian platform baharu kenderaan elektrik dan komponen untuk pelbagai jenis segmen kenderaan.

Dalam tempoh sama juga, 40 kenderaan akan diperkenalkan yang mempunyai pelbagai tahap teknologi autonomous sehingga kepada autonomous sepenuhnya.

Pakatan turut mempunyai sasaran besar iaitu mahu menjadi operator kepada kenderaan robo (robo-vehicle) dalam bidang e-hailing yang merupakan sebahagian daripada strategi perkhidmatan mobiliti baharu.

Setelah lama menggunakan jenama Renault-Nissan, pakatan akhirnya melancarkan logo baharu yang tampil dengan Mitsubishi sebagai ahli baharu dan merupakan simbol kepada fokus dan kerjasama di antara ketiga-tiga syarikat ikonik ini.

BACA: CARLOS GHOSN: LELAKI AJAIB DI SEBALIK PAKATAN RENAULT-NISSAN

BACA: NISSAN GT-R R34 V-SPEC II Nür R-TUNE – RM1.03 JUTA, KASTA TINGGI SELEPAS GT-R NISMO Z-TUNE 

Pada tahun 2016, Mitsubishi menyertai ahli Pakatan Renault-Nissan dan secara keseluruhan mereka telah berjaya menjual sekitar 10 juta kenderaan di hampir 200 buah negara.

Selain itu, pakatan turut mempunyai kerjasama strategik dengan kumpulan automotif lain seperti Daimler dari Jerman dan Dongfeng dari China.

Kerjasama itu membolehkan mereka menjadi peneraju dalam kenderaan bebas emisi dan kini sedang membangunkan teknologi termaju termasuk pelan bagi menawarkan pemanduan autonomous dan teknologi sambungan pada kenderaan mampu milik.

Alliance 2022 adalah perancangan besar dan ia boleh dicapai. Cuma berbanding Kumpulan Volkswagen, baik Renault, Nissan atau Mitsubishi mereka tidak mempunyai jenama mewah dan eksotik seperti Lamborghini, Bentley dan Porsche.

Paling hampir ialah Infiniti yang dimiliki Nissan atau Nissan GT-R dalam segmen berprestasi dan uniknya dalam pakatan ini ialah, Renault telah lama berada dalam perlumbaan Formula Satu.

Menarik bukan?

(Visited 1,048 times, 7 visits today)

Share this post

scroll to top