PANAMERA WAGON-REKABENTUK PORSCHE YANG SEMAKIN ANEH

SHARE

Satu ketika dulu bila sebut nama Porsche kita akan terbayang model 911 Turbo yang hampir menyerupai Volkswagen Beetle. Berbeza dengan pengeluar kereta sports lain, Porsche lebih dikenali dengan rekaan kereta sports yang boleh digunakan setiap hari. Tapi itu bukan di tempat kita, di sini harga second hand pun mahu meninggal dunia dibuatnya.

Kini Porsche sudah lari dari tabiat asalnya, mula-mula mereka menghasilkan SUV yang dinamakan Cayenne. Rupanya jangan ceritalah, tetapi kecantikan itu sesuatu yang subjektif. Ia terjual dengan cukup laris sehingga mampu menggugat pasaran yang selama ini dikuasai Range Rover.

Kemudian mereka menghasilkan model empat pintu yang dinamakan Panamera untuk bersaing dengan Mercedes-Benz S-Class dan BMW 7-Siri. Tambah aneh lagi bila kedua-dua model ini berjaya mencuri perhatian pelanggan. Antara faktor penyumbang kejayaan ini tentu sekali sistem kawalan Porsche yang cukup mantap berdasarkan pengalaman mereka menghasilkan kereta sports selama puluhan tahun.

Berdasarkan maklumat terbaru yang dilaporkan oleh autoblog.com, Porsche kini dalam proses untuk menghasilkan Panamera Wagon. Biar betul? Wagon? Ini merupakan antara persoalan yang bakal ditanyakan sebaik mendengar berita ini. Bagi ramai rakyat Malaysia, wagon merupakan sesuatu yang asing kerana mereka sudah terbiasa dengan model-model sedan dan hatchback.

panamera wagon (2)

Tetapi jika kita lihat pasaran Amerika dan Eropah, warga di sana lebih gemar membeli model-model wagon untuk kegunaan seharian. Pasaran wagon di Malaysia dikuasai oleh Volvo sejak sekian lama walaupun ada juga beberapa model yang diperkenalkan oleh syarikat lain kebelakangan ini.

Balik kepada Panamera, kemunculan model ini di Malaysia memang cukup mengkagumkan kami pada awalnya. Dengan harga yang mencecah satu juta Ringgit Malaysia, Panamera merupakan antara model Porsche yang cukup laris. Kan kami pernah beritahu anda di Kota Bharu saja dah ada lima, enam biji Panamera berlegar-legar di dalam bandar setiap hari. Di Bukit Bintang jangan ceritalah.

Panamera Wagon yang lebih praktikal ini dikatakan adalah untuk pasaran 2017. (Siapa yang beli Porsche untuk praktikal?). Sumber dalaman Porsche juga menyatakan model ini kemungkinan besar akan ditampilkan buat pertama kalinya di Geneva Motor Show tahun hadapan. Mengikut trend semasa, jika sebuah model itu diperkenalkan dalam tahun 2017, maka bukan sesuatu yang mustahil jika ia menjadi kenyataan dalam tahun berikutnya.

Prototaip Panamera dengan bumbung yang lebih panjang juga telah dilihat sedang menjalani ujian di Litar Nurburgring, membuktikan yang Porsche memang sedang menjalankan ujian model terbaru mereka. Tambahan pula, CEO Porsche untuk pasaran Amerika Utara menyatakan, mereka akan memasarkan Panamera Wagon jika ia berjaya dihasilkan.

panamera wagon (1)

Jika ia sampai keperingkat produksi, Panamera Wagon langsung tidak mempunyai saingan di Amerika Syarikat. Di Eropah pula, ia akan bersaing dengan Mercedes-Benz CLS Shooting Brake dan Audi RS6 Avant. Jika ada saingan di AS pun cuma berdepan dengan model saiz pertengahan, Mercedes-Benz E-Class Wagon. Buat masa ini ia cuma ditawarkan dengan versi E400. Walaupun kemungkinan model AMG E63 akan dibawa masuk. Namun E-Class masih mengekalkan ciri-ciri wagon tradisional dengan bentuk bumbung yang tinggi sehingga ke belakang, berbeza dengan rekaan Panamera yang lebih rendah di belakang.

Angka kuasa juga mempunyai perbezaan yang ketara. E400 menggunakan enjin V6 turbo berkembar yang mampu menghasilkan 329bhp berbanding Panamera standard yang menggunakan enjin V6 440bhp. Panamera juga mempunyai pilihan enjin hybrid 462bhp dan V8 550bhp. Perbezaannya memang cukup besar dan ketara. Nantikan sahaja kemunculannya nanti.

Kepada tauke-tauke dan jutawan-jutawan muda Malaysia tak kiralah jutawan kosmetik atau MLM inilah peluang untuk anda melaram dengan Porsche terbaru. Kehebatan wagon yang paling besar ialah pada ruang bagasinya. Senanglah lepas ni kalau nak buat pelancaran produk baru. Silap-silap sebuah Axia pun muat masuk ke dalam.

kredit: Autoblog

Share this post

scroll to top