Artikel PilihanBuletin

PENING NAK PILIH MPV?

Waktu muda bolehlah berdesup dengan VTEC, turbo, 4AGE atau K-Car. Tetapi apabila sudah berkeluarga barulah sedar, kelajuan bukanlah matlamatnya. Anda akan lebih sensitif dengan saiz.

mitsubishi-chariot -Grandis-mekanika

Apabila anak dah masuk 3 ke 4 orang, tidak ada objek yang lebih praktikal bergerak balik kampung selain sebuah kenderaan pelbagai guna atau MPV.

Masalahnya, MPV pun ada banyak kategori. Ada mini, midi dan saiz penuh. Dalam bahasa mudahnya, kecil, sederhana dan besar. Kebanyakan pengeluar ada poliferasi yang sama.

Contohnya Toyota ada Wish, Estima dan Alphard (ketepikan dahulu segmen B seperti Sienta). Toyota juga ada sub segmen antara model-model core Wish, Estima, Alphad tadi seperti Ipsum, Mark X Zio dan Noah.

Toyota -Gaia-mekanika

Namun, bagi kebanyakan pembeli di Malaysia, MPV di sini semuanya mampu tengok dan bukannya mampu milik. Betul, kebanyakan kita mampu beli Alza atau Grand Livina tapi masalahnya di mana nak letak beg? Kategori mini MPV ini juga, barisan tempat duduk ketiganya memang tak selesa untuk penumpang dewasa, kecuali mungkin Exora.

Saya juga seorang yang kritikal tentang saiz MPV dan belajar banyak perkara tentang keperluan pengangkutan yang praktikal. Saya pernah beli Mazda MPV (tahun 2000, 2.5 V6 saiz penuh), Mazda Premacy (2.0 saiz sederhana) dan Honda Odyssey RB1 (2.4L) sepatutnya saiz penuh tapi bumbung rendah itu tidak praktikal untuk pencinta ruang. Subaru pun ada kembar macam Odyssey RB ni namanya Subaru Exiga.

Toyota-Estima-mekanika

Saya mengkaji hampir setiap MPV yang pernah dijual di Malaysia. Ada unit yang cukup bijak dibina dengan tayar ganti di bahagian tengah kereta. Itu menjadikan ruang barangan dibina dengan ‘slope’ sangat besar, lebih besar dari sebuah sedan bersaiz penuh seperti Mazda MPV dan Toyota Estima ACR50.

Ada juga dengan reka letak enjin dan kerusi yang bijak menjadikan ruang kaki penumpang lega dan kawasan bagasi yang luas seperti Mitsubishi Space Gear. Tak dilupakan ada MPV dengan konfigurasi 6 tempat duduk seperti Honda Edix dan Fiat Multipla.

Mazda-MPV-mekanika

Ada MPV yang harganya jatuh teruk macam Kia Carnival/Naza Ria, Fiat Ulysse, Renault Espace dan Citroen Evasion. Terdapat pula MPV memang banyak ‘diskaun’ lepas dua tiga tahun di pasaran seperti Ford S-Max dan Mazda MPV (model pintu gelungsur). Jika anda mementingkan saiz XXXL, ada Hyundai Starex, Ssangyong Stavic dan pemain baru Maxus G10.

Di Jepun, pasaran MPV lebih unik kerana ada sub kategori dari celahan midi dan saiz penuh. MPV ini direka dengan bumbung yang tinggi. Model yang terlibat ialah Honda StepWGN, Toyota Noah/Voxy, Mazda Biante dan Nissan Serena. Ia sudah lama di pasaran cuma kita hanya mengenali Biante dan Serena yang dibawa secara sah oleh BerMaz Motor dan Edaran Tan Chong Motor.

Honda-Stepwgn-mekanika

Satu masa dulu, Mitsubishi USF pernah bawa masuk Honda StepWGN Spada dan Elysion. UMW Toyota bagaimanapun tak pernah bawa masuk Noah/Voxy. Baik diac orang jual Innova dan Avanza katanya.

Model versi recond juga telah lama masuk seperti Toyota Gaia, Granvia, Nissan Picnic, Prairy Joy/Liberty, Nissan Presage, tapi model-model ini sangat kecil bilangannya dan tak popular langsung.

Nissan-Liberty-mekanika

MPV yang saya sebutkan tadi waktu diperkenalkan ke pasaran harganya memang kategori meninggal dunia. Tapi selepas jatuh ke pasaran terpakai, ia lebih murah.

Jadi, bagi mereka yang mementingkan bajet, sebenarnya ada banyak MPV yang boleh dibeli tanpa perlu bermasam muka dengan bank. Akan datang, kami akan senaraikan MPV berkualiti pada harga mampu milik. Mampu milik itu satu hal, tapi kami senaraikan yang mampu milik dan mampu dibela.

Toyota-Granvia-mekanika

Kami cuba senaraikan satu persatu mengikut jenama atau nak senarai ikut bajet? Misalnya MPV bawah RM20,000 atau MPV berharga dari RM20,000 hingga RM50,000.

Atau nak ikut saiz? Contohnya saiz penuh bawah RM20,000 dan saiz sederhana bawah RM20,000? Ke macam mana?

Google ads
Back to top button