PENURUNAN HARGA KERETA

SHARE

Ini bukanlah ruang politik untuk membicarakan mengenai manifesto atau aku janji pilihan raya. Mekanika Malaysia adalah laman web automotif. Jadi apabila sesuatu polisi berkaitan industri itu disentuh dan diheret ke tengah, maka kiranya wajiblah juga saya menyinsing lengan menulis mengenai isu ini. 

Seperti yang kita sedia maklum, negara kita sedang menjalani sistem dua parti yang terdiri daripada pemerintah dan pembangkang. Setelah sekian lama pembangkang kucar-kacir dengan agenda yang ingin dibawa, akhirnya mereka duduk bersama di dalam sebuah perikatan yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat (PR).

Umno dan rakan-rakan awalnya sudah tahu bahawa jika ingin Tanah Melayu merdeka, rakyat pelbagai kaum perlu bersatu. Mahu atau tidak mereka perlu berada di bawah satu payung yang hari ini kita kenali sebagai Barisan Nasional (BN).

Mitsubishi YE-Triton-Mrec-Desktop

Selama berpuluh-puluh tahun BN memerintah dengan gah tanpa usikan kuat daripada pembangkang. Tidak dinafikan terdapat beberapa peristiwa politik yang besar, namun itu semua belum lagi mampu menjatuhkan BN.

kereta 1

Bukan apa, pembangkang sendiri lemah dalam membentuk pakatan dan memberi ancaman besar kepada BN. Malah banyak juga bertembung sesama sendiri. Hari ini bezanya parti pembangkang sudah menemui titik pertemuan dan lebih padu dalam turut sama mencorakkan pemerintahan negara.

Apa yang dilaungkan PR lebih bergema. Memandangkan mereka mempunyai sejumlah sokongan, maka senario itu dilihat lebih menarik apabila BN sendiri menyambung gema yang dilaung. Di dalam konteks ini adalah cadangan untuk menurunkan harga kereta.

Isu penurunan harga kereta sebenarnya sudah lama. Jika diimbas kembali pada tahun 2006, kerajaan sudah pun melakukannya buat pertama kali. Isu turunkan harga atau lebih senang penghapusan cukai sebenarnya merupakan agenda ekonomi global atau yang selalu kita dengar sebagai globalisasi.

Matlamat utama globalisasi ekonomi adalah untuk menghapuskan sebarang halangan bagi kemasukan produk atau perkhidmatan ke sesebuah negara. Halangan ekonomi tidak terhad kepada cukai sahaja. Ia turut hadir dalam pelbagai bentuk seperti kuota import, standard atau pun birokrasi.

SONY DSC

Halangan-halangan ini sebenarnya penting bagi memastikan kelangsungan industri tempatan. Memandangkan Proton dan Perodua masih belajar untuk membuat kereta dengan betul, maka kerajaan melihat keperluan demi melindungi industri tersebut.

Harus tahu bahawa halangan adalah perkara biasa dalam pelaksanaan ekonomi globalisasi. Sekiranya di Malaysia perlindungan diberi kepada industri automotif, di negara lain berbeza pula industri yang ingin dilindunginya.

Di peringkat negara-negara Asean, ada satu perjanjian bebas yang dikenali sebagai Zon Perdagangan Bebas Asean atau lebih dikenali sebagai AFTA. Objektif utama AFTA ialah untuk mewujudkan suasana kompetitif dan menarik lebih banyak pelaburan asing ke negara Asean

Negara-negara Asean yang terlibat sudah pun mematuhi apa yang patut dipersetujui melalui perjanjian tersebut dalam beberapa bidang ekonomi dengan Malaysia telah memohon pengecualian atau penangguhan dalam sektor automotif.

garaj - Hilux VNT 1

Sebab itu ada orang kita yang pulang dari melancong ke Indonesia mengadu harga kereta di sana seperti Honda Jazz atau Toyota Vios lebih murah. Bagi mereka yang ke luar negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom atau Jepun pula biasanya akan merungut benda yang sama.

Tidak perlu contoh jauh sebenarnya, jika disemak harga kereta di Pulau Langkawi pun rakyat sudah boleh lihat perbezaan struktur cukai yang dikenakan. Hakikatnya, kerajaan mengenakan cukai yang lebih kerana mengikut pendapat mereka, industri automotif tempatan perlu dilindungi. Selain itu, cukai kenderaan merupakan hasil pendapatan negara. Walau bagaimanapun, kerajaan tetap harus menurunkan cukai dalam masa beberapa tahun lagi bagi mematuhi perjanjian AFTA sepenuhnya.

Dalam sektor automotif, Thailand dilihat lebih ke hadapan dalam menarik pelabur asing hingga digelar sebagai Detroit of the Asia. Ini boleh dilihat dengan kehadiran pengeluar utama dunia seperti Ford dan Toyota yang menjadikan negara itu sebagai pangkalan penting dalam mengeksport model-model syarikat. Bukti nyata ialah hampir kesemua pikap yang dibawa masuk ke negara kita dikilangkan di Thailand, selain beberapa model lain seperti Toyota Vios dan sebagainya.

Namun, matlamat utama AFTA ialah untuk berkongsi kekayaan, jika kesemuanya tertumpu kepada Thailand sahaja maka itu adalah suatu yang tidak seimbang. Mujur, Honda menjadikan Malaysia sebagai pengkalan untuk mengeksport kereta penumpang seperti Honda City dan Honda Accord ke Thailand.

Proton-Exora-Bold-2013.06

Ironinya, Malaysia adalah peneraju industri automotif dengan pengenalan Proton, Perodua dan Modenas. Malangnya sekarang Thailand lebih mendahului. Tidak dinafikan kos murah antara faktor kenapa pelabur asing suka ke Thailand.

Tidak duduk diam, kerajaan dikatakan telah menyemak semula Dasar Automotif Nasional dan khabarnya tumpuan akan diberikan kepada industri kenderaan cekap tenaga. Ini boleh dilihat dengan cukai kenderaan hibrid yang rendah serta program pemasangan Honda Jazz Hybrid di Melaka.

Kerajaan juga dilihat sudah lebih berkompromi dalam isu harga kereta. Kita boleh lihat bagaimana segmen kereta bandar diliberalkan. Harga Nissan Almera misalnya bermula daripada RM66,000. Itu sebenarnya sudah memasuki kawasan harga kereta nasional.

Kia juga agresif, lihat bagaimana mereka meletakkan harga produk-produk mereka, Jauh lebih murah jika dibandingkan dengan kereta Jepun. Harus tahu, Forte ialah antara saingan utama Proton Inspira.

Untuk Pilihanraya ke 13,Pakatan Rakyat telah membuat hantaran bulu tangkis dengan janjinya untuk menurunkan cukai sebanyak 100 peratus dengan kadar 20 peratus setiap tahun selama lima tahun.

SONY DSC

Sedikit lambat dan teragak-agak untuk menyambut bola tangkis tersebut, kerajaan akhirnya mengumumkan penurunan cukai sebanyak 20 hingga 30 peratus secara beransur-ansur.

Tidak kira mana pun pasukan yang memperoleh mata akibat jatuhan bulu tangkis tersebut, rakyat akhirnya dapat menyaksikan perlawanan yang menyeronokkan. Hasil akhirnya nanti sama ada 100 peratus atau 30 peratus yang turun, rakyat tetap akan menikmati penurunan cukai kereta.

Nampak dan rasa seperti seronok, tetapi apa yang sebaliknya bakal berlaku adalah kereta yang anda miliki sekarang ini akan mempunyai nilai hangus.

Nilai kereta anda akan jatuh akibat daripada penurunan harga kereta baharu. Senarionya mudah. Jika sebuah Honda Jazz baharu kelak berharga RM70,000 tidak mungkin Honda Jazz yang sudah anda guna selama tiga tahun dengan harga belian lebih mahal mempunyai nilai yang sama. Secara automatiknya nilai Honda Jazz anda akan turut jatuh.

KERETA - jazz CKD 4

Bayangkan jika baki pinjaman bank masih lagi ada RM70,000 sedangkan nilai semasa sekitar RM60,000. Secara langsungnya, baki pinjaman lebih tinggi daripada nilai semasa dan anda harus menunggu hingga nilai pinjaman berkurangan atau pun pandu  sampai reput sahaja!

Menikmati harga kereta yang murah memang indah. Namun kesannya harus difikirkan juga. Walau bagaimanapun, contoh yang saya nyatakan itu hanyalah kesan sementara atau untuk satu kitaran sahaja.

Selepas cukai habis diturunkan mengikut apa yang dijanjikan oleh kerajaan dan hutang pula telah dilangsaikan anda boleh menikmati harga baharu kereta dengan senyuman. Orang kata, greater good.

Namun begitu, untuk mengekang kesan melampau akibat penurunan harga secara mendadak, kerajaan boleh mengambil model negara jiran seperti Indonesia atau Thailand.

Di sana, walaupun harga kereta murah, tetapi akses kepada kereta adalah sukar. Di negara kita, jumlah pinjaman adalah 90 peratus, kadar faedah pinjaman bank rendah dan tempoh pinjaman pula panjang.

Jadi dengan akses sedemikian tidak hairanlah ramai sungguh yang membeli kereta baharu dan faktanya pula ramai juga yang bankrap dek kerana gagal membayar pinjaman kereta.

Di negara jiran, rakyatnya tidak menikmati kemudahan tersebut walaupun harga kereta murah. Apa yang boleh kerajaan lakukan adalah dengan menyemak kembali syarat pinjaman. Misalnya mengurangkan jumlah pinjaman kepada 80 hingga 70 peratus. Selain mengurangkan tempoh pinjaman dari sembilan tahun kepada tujuh atau enam tahun sahaja. Lebih rigid, kereta kedua atau ketiga dihadkan jumlah pinjaman sebanyak 50 peratus sahaja.

Ada satu cara lagi ialah dengan mengekalkan harga sedia ada tetapi dengan penambahan nilai. Misalnya Proton Preve CFE yang berharga RM73,000 dibesarkan lagi pakej standardnya seperti penambahan beg udara, kit badan, insurans dan servis percuma dan waranti yang lebih lama tanpa sebarang penambahan harga.

Cara-cara tersebut boleh dibuat dalam tempoh sehingga pasaran stabil. Ia juga dilihat dapat mengekang kebanjiran pembelian baharu. Pada masa yang sama memelihara harga kereta semasa dan industri kereta terpakai.

Paling penting kerajaan juga mempunyai tanggung jawab dalam mendidik masyarakat supaya membeli ikut kemampuan dan berdisiplin dalam berbelanja. Pilihanraya sudah tidak lam. Manifesto lawan manifesto, kita lihat pihak mana yang akan berjaya nanti.

 

*Teks: MAT UIA

geartinggimedia@gmail.com

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top