Buletin

PETROL DIDAKWA TERCAMPUR DIESEL DAN AIR, PULUHAN KERETA TERSADAI DI LEBUH RAYA SUNGAI BESI

Dianggarkan lebih 30 buah kenderaan dilapor mengalami masalah enjin dan mati secara tiba-tiba selepas mengisi minyak di sebuah stesen petrol berhampiran Lebuhraya Sungai Besi pagi tadi.

Insiden yang berlaku sejak jam tujuh pagi itu didakwa berlaku akibat tangki simpanan petrol di stesen minyak Petronas Solaris Besraya tercampur dengan diesel atau air.

Bertindak pantas terhadap aduan pelanggan, syarikat pengendali stesen minyak terbabit tampil menunda kenderaan yang terjejas.

Menurut laporan Berita Harian, maklumat lanjut sedang dikumpul oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), pengusaha stesen minyak dan mangsa.

Mengulas mengenai kejadian itu, PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) dalam satu kenyataan menegaskan pihaknya mengambil serius insiden yang berlaku dan memohon maaf kepada semua pelanggan yang terjejas.

Berdasarkan kepada penilaian awal, wujud kecuaian dalam pengendalian produk dan ia hanya berlaku di stesen berkenaan. Maka, stesen berkenaan kini ditutup buat sementara waktu bagi membolehkan siasatan dibuat.

PDB juga telah menghubungi pelanggan yang terlibat, mengambil langkah-langkah perlu dan akan membayar ganti rugi sewajarnya.

kredit teks/foto: Berita Harian

Google ads
Back to top button