Buletin

PININFARINA BANTU REKA KERETA PERTAMA VIETNAM – VINFAST

Vietnam kini dilapor mempunyai sebuah syarikat pengeluar keretanya sendiri, dikenali sebagai VinFast.

Sebagai permulaan, VinFast dilapor meminta kepakaran firma reka bentuk automotif terkemuka Pininfarina untuk menghasilkan rekaan sedan dan SUV untuknya.

Menurut Pininfarina, sebanyak 20 rekaan telah diserahkan kepada VinFast. Ia kemudian mengadakan satu peraduan yang meminta pengguna untuk memilih reka bentuk kereta yang memenuhi citarasa rakyat Vietnam dan selari dengan trend di seluruh dunia.

Selepas diundi oleh 62,000 orang, dua rekaan Pininfarina telah dipilih. Tidak banyak perincian tentang kedua-dua model itu yang didedahkan. Jika dilihat kepada lakarannya, kereta tersebut hadir dengan fascia hadapan yang bergaya, lampu utama nipis dan gril menarik.

Sementara SUV pula dilihat mempunyai fascia hampir sama. Cuma badannya lebih tinggi dan lebih agresif. Sama seperti kebanyakan SUV lain, ia dipasang dengan pelindung pada bahagian bawah enjin, arca roda yang lebar dan roof rails.

VinFast dijadual memperkenalkan kenderaan pertamanya pada September 2019. Jika semua berjalan seperti yang dirancang, VinFast akan menghasilkan 500,000 unit kenderaan menjelang tahun 2025.

“Penglibatan secara langsung firma reka bentuk Pininfarina dijangka dapat menghasilkan kenderaan yang menarik. Pada masa sama mengekalkan identiti rakyat Vietnam,” kata Naib Presiden Vingroup, Quang Viet Nguyen.

Google ads
Back to top button