Buletin

PIRELLI HASILKAN TAYAR P-ZERO KHUSUS UNTUK HYUNDAI i30 N BARU

Menjelang pelancarannya, kejutan demi kejutan dipersembahkan oleh Hyundai i30 N baru. Terbaru ialah tayar keluaran Pirelli yang dihasilkan khusus untuknya. Ia dibangunkan Hyundai bersama Pirelli untuk menyerlahkan lagi ciri dinamik kereta ini. Tayar varian Ultra High Perfomance Tyre mempunyai dimensi 235/35 R19 dan dihasilkan di kilang berteknologi tinggi Pirelli di Settimo Torinese, Itali.

Untuk menandakan yang tayar ini adalah khusus untuk kegunaan i30 N, Hyundai Performance N memberikan satu tanda khusus pada bahagian sisi tayar dengan abjad ‘HN’. Tayar ini juga merupakan sebahagian daripada  strategi Perfect Fit Pirelli.

Strategi Perfect Fit merupakan pendekatan Pirelli untuk membangunkan tayar khusus untuk kegunaan kenderaan tertentu dan dilaras berdasarkan karektor sesebuah kenderaan secara khusus. Inilah yang menjadikan Pirelli pendahulu dunia dalam pasaran tayar-tayar OEM khususnya untuk kereta-kereta kategori premium dan mewah.

Kerjasama dengan Hyundai Performance N mengembangkan lagi portfolio mereka dengan satu lagi pengeluar kenderaan terkemuka dunia.

BACA: HYUNDAI “TYPE R” – i30 N FIRST EDITION HABIS DIJUAL DALAM MASA DUA HARI

i30 N merupakan kereta berprestasi tinggi pertama keluaran Hyundai Motor dalam siri model N. Diasaskan daripada i30 generasi terbaru, i30 N telah dibangunkan sepenuhnya dari awal untuk memberikan keseronokkan pemanduan secara maksima di atas jalan raya dan juga di litar perlumbaan.

Ia juga merupakan jawapan Hyundai Motor kepada pelanggan mereka yang sentiasa mahukan innovasi dan produk berteknologi tinggi tanpa kompromi. Ia bakal dilancarkan di Eropah sekitar penghujung tahun ini dan disasarkan khusus untuk individu yang sukakan pengalaman pemanduan sporty dan dinamik sewaktu memandu kereta berprestasi tinggi.

i30 N cukup sukakan selekoh. Logo N melambangkan ‘chicane’, bahagian luar litar di mana i30 N mempamerkan cengkaman dan ketepatan tindak balas sterengnya. Ia juga dibantu oleh enjin 2.0-liter berkuasa turbo yang mampu menghasilkan 275 ps kuasa dan 353 Nm tork.

Ia juga merupakan sebuah kereta sport yang sesuai dipandu setiap hari dengan selesa tetapi sentiasa bersedia untuk dibawa ke litar pada hari minggu.

Dalam peringkat pembangunan, ketahanan dan prestasi di atas litar merupakan perkara pokok. Untuk itu i30 N telah diuji sejauh 10,000 kilometer di litar Nurburgring untuk memastikan ketahanannya.

Versatiliti kereta ini membuatkan pemilihan tayarnya cukup penting untuk keselamatan dan prestasi dalam apa juga keadaan cuaca. Untuk memenuhi keperluan itu, para jurutera Pirelli telah menghasilkan tayar P Zero khusus untuk keperluan i30 N ini.

Google ads
Back to top button