Buletin

PLUS TAWAR REBAT TUNAI TOL 30% PADA HARI BUKAN PUNCAK 

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengatur beberapa strategi dan pendekatan khusus untuk mengagihkan trafik dan membantu orang ramai menikmati perjalanan yang lebih lancar dan selesa pada cuti Aidilfitri akan datang.

Pengendali lebuh raya itu menjangkakan sebanyak 1.7 juta kenderaan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan setiap hari pada hari-hari puncak sepanjang Aidilfitri. Jumlah tersebut merupakan peningkatan sebanyak 21 peratus berbanding 1.4 juta kenderaan pada hari-hari biasa.

Cadangan Waktu Perjalanan (TTA)

PLUS telah mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) 21 Jun hingga 3 Julai untuk membantu orang ramai merancang perjalanan mereka.

Selain TTA, rebat tol 30 peratus ditawarkan untuk transaksi tol menggunakan kad PLUSMiles selama enam hari iaitu pada 19, 20, 21, 28, 29 Jun dan 3 Julai. Manakala, rebat tol 10 peratus ditawarkan untuk transaksi tol menggunakan kad Touch ‘n Go pada tarikh yang sama.

Rebat tol pada kali ini diberikan bagi perjalanan kenderaan Kelas 1 melebihi 100 kilometer yang membuat transaksi tol di plaza-plaza tol di semua lebuh raya kendalian PLUS. Ia ditawarkan sepanjang hari pada tarikh-tarikh tersebut.

Pada tarikh-tarikh itu, orang ramai masih perlu membayar tol dengan kadar biasa. Rebat tol 30 peratus dan 10 peratus tersebut akan dimasukkan ke dalam kad PLUSMiles atau kad Touch ‘n Go (dalam bentuk Tambah Nilai) apabila orang ramai menambah nilai kad mereka di pusat-pusat khidmat pelanggan PLUS di antara 15 Julai hingga 14 Oktober depan.

Rebat ini tidak meliputi transaksi tol di plaza tol Bukit Kayu Hitam, Bangunan Sultan Iskandar, Tanjung Kupang dan Jambatan Pulau Pinang.

Lorong Tambah Nilai Ditutup

Bagi membantu melancarkan pergerakan trafik dan mengurangkan kesesakan yang disebabkan oleh orang ramai beratur di lorong tambah nilai di plaza tol, PLUS akan menutup semua Lorong Tambah Nilai di plaza tol.

Kesemua 134 Lorong Tambah Nilai akan ditutup kepada orang ramai mulai 22 Jun hingga 2 Julai.

PLUS menasihatkan orang ramai supaya memastikan kad mereka mempunyai baki yang mencukupi sebelum memasuki lebuh raya. Mereka boleh menambah nilai kad di 9,200 lokasi lain yang terdiri daripada mesin ATM, kedai serbaneka 24-jam, stesen-stesen minyak dan banyak lagi.

Google ads
Back to top button