PORSCHE 911 GT3 RS DEBUT DI MALAYSIA – ENJIN N/A 520HP, RM2.2 JUTA

SHARE

Sime Darby Auto Performance (SDAP), pengimport kereta Porsche di Malaysia baru-baru ini memperkenalkan model 911 GT3 RS di Pavilion Kuala Lumpur.

911 GT3 RS yang sinonim dengan prestasi tinggi itu dilihat sebagai model yang merapatkan jurang di antara jentera litar dan kereta di atas jalan raya biasa. Jentera itu dikuasakan oleh enjin aspirasi biasa bersesaran 4.0 liter yang mampu menjana 520hp.

Dipadankan dengan kotak gear PDK tujuh kelajuan, ia boleh memecut dari 0 hingga 100km/j dalam masa 3.2 saat dengan kelajuan maksimum 312km/j. Pengenalan model ini menyaksikan SDAP kini menawarkan model GT yang kedua kepada pengguna tempatan selepas 911 GT2 RS.

Aspek aerodinamik kereta itu dibantu oleh rekaan badan yang lebar, ringan serta wing belakang. Tema perlumbaan diteruskan ke ruang kabin dengan tempat duduk full bucket diperbuat daripada karbon untuk memberi sokongan terbaik kepada pemandu.

Rim ringan bersaiz 20 inci dibalut dengan tayar 265/35 yang dihasilkan khas di hadapan. Manakala bahagian belakang dipasang dengan rim 21 dan tayar 325/30 untuk meningkatkan lagi tahap cengkamannya.

Sama seperti semua model GT, 911 GT3 RS hadir dengan pakej Clubsport tanpa sebarang penambahan harga. Pakej itu melibatkan bar rollober, pemadam api, suis pemihasan kuasa bateri dan tali pinggang enam poin.

Pakej Weissach

Bagi mereka yang masih kurang berpuas hati dengan pakej sedia ada, Porsche ada menyediakan pakej tambahan Weissach yang lebih ringan. Pakej itu terdiri daripada komponen tambahan diperbuat daripada karbon untuk chasis, luaran dan dalaman. Penggunaan pakej ini membolehkan berat dikurangkan sebayak 17kg.

Anda boleh memiliki sebuah 911 GT3 RS pada harga bermula RM2.23 juta yang merangkumi jaminan selama empat tahun, tetapi tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insurans.

Cayenne Turbo 2018

Dalam perkembangan berkaitan, SDAP turut memperkenalkan Porsche Cayenne Turbo baharu. Diposisikan sebagai model Cayenne paling premium, model generasi ketiga itu menawarkan pemanduan sporty dan berprestasi tinggi.

Peningkatan aspek dinamik pemanduannya disumbang oleh kombinasi teknologi inovatif seperti spoiler belakang, suspensi udara, gabungan tayar dan brek berprestasi tinggi.   

Orang ramai boleh melihat 911 GT3 RS dan Cayenne Turbo secara dekat di Pavilion Kuala Lumpur sehingga esok (14 Oktober 2018). 

GALERI

Share this post

scroll to top