PORSCHE 911 TURBO YANG LEBIH BERKUASA UNTUK TAHUN 2017

SHARE

Porsche merupakan pengeluar kereta sport yang ikonik dari Jerman. Model paling popular semestinya 911. Walupun kini mereka mula melalut dengan menghasilkan model empat pintu Panamera dan SUV Cayenne, tapi 911 tetap kekal menjadi flagship Porsche. Jika Ferrari dan Lamborghini hanya digunakan oleh pemiliknya pada hujung minggu, Porsche pula merupakan sebuah sportscar yang boleh digunakan setiap hari. Itulah yang membezakan teknologi Jerman dan Itali. Di kalangan semua varian 911, yang paling ganas sekali semestinya ialah Porsche 911 Turbo.

Kini dah muncul pula 911 Turbo untuk tahun 2017. Porsche 911 Turbo 2017 bukan hanya sebuah model baru tetapi ia juga membawakan kepada dunia satu teknologi baru. Jika kita bertanya kepada sesiapa sahaja yang pernah memandu 911 Turbo mereka akan berkata 911 Turbo yang sebelum ini memerlukan pemandunya mempunyai 3 kaki untuk mengambil selekoh dengan baik.

Sepasang kaki manusia biasa tidak mencukupi untuk mengawal aliran kuasa dari enjin dan kotak gear 911 Turbo. Satu kaki digunakan untuk menekan brek, satu lagi untuk klac dan satu lagi untuk menekan pedal minyak untuk memastikan anda tidak akan berhempas pulas mengawal kereta ini. Silap-silap boleh lari tulang belakang. 911-turbo-2017-3 Generasi terakhir 997 dibekalkan dengan turbin pelbagai geometri untuk melembutkan lagi kesan tindak balas tersebut tetapi masih lagi kurang sempurna. Peredaran kuasanya lebih baik daripada turbin lama tetapi masalah “turbo-lag” masih ada. Bagi pemanduan biasa memang tidak terasa sangat tetapi jika anda ingin memecut pada pagi hari minggu untuk membeli nasi lemak panas, ianya memang agak terasa (Jangan tanya kenapa Porsche tak pasang CVT pada 911 Turbo pulak eh?).

Untuk model terbaru ini, para jurutera Porsche telah mengubahsuai sistem suntikan bahan api kepada unit bertekanan lebih tinggi untuk kawalan yang lebih tepat dan respon yang pantas. Hasilnya? Satu sistem yang membolehkan injap pendikit sentiasa terbuka sewaktu dalam keadaan biasa sekalipun, dengan kata lain sewaktu bahan api tidak diperlukan untuk membuat pecutan dan pengecas turbo berputar semakin perlahan, sistem ini akan menggunakan udara untuk mengekalkan boost pada tahap puncaknya.

Hanya 1 ke 2 psi dimasukkan ke dalam sistem menggunakan udara yang ditolak masuk ke dalam enjin, tetapi ia memastikan turbin berpusing pada tahap yang diperlukan – untuk memecut dengan pantas. Para jurutera Porsche juga mengatakan ini bukannya “anti-lag” seperti yang dibangunkan dalam perlumbaan rali dan Formula 1. Ia bukannya sekadar merendahkan pemasaan (timing) dan membakar minyak berlebihan di dalam paip ekzos untuk memutarkan turbin untuk kuasa tambahan (sebab itulah kita biasa melihat api keluar dari corong ekzos).

Porsche memastikan proses sistem baru ini berada di bahagian hadapan enjin dan bukannya di belakang seperti “anti lag”.

911-turbo-2017-1

Kesannya adalah cukup berkesan dan bertindak dalam keadaan spontan. Bagi model 911 Turbo S, kesemua 580 bhp kuasanya boleh digunakan bila-bila masa sebaik anda menekan pedal minyak. Ianya tidaklah seganas 911 Turbo sebelum ini tetapi kini ia lebih jinak dan mampu dikawal tanpa ‘mencederakan’ tulang belakang Abang Japar.

Malah pecutan segera boleh dilakukan ketika sedang mengambil selekoh (kalau berani la). Sistem ini sebenarnya sudah pun digunapakai pada model Carrera 3.0 untuk meyakinkan pelanggan yang ianya akan menjadi selancar enjin NA flat-6 Porsche yang cukup popular.

Untuk model 911 Turbo diharapkan semuanya akan berjalan lancar sepertimana model-model Porsche yang lain. Dengan kata lain inilah sistem yang kita harapkan pada masa hadapan. Ia mungkin tidak penting untuk kereta-kereta kegunaan harian biasa tetapi bagi kereta-kereta berprestasi tinggi khususnya yang dilengkapi dengan enjin turbo, masalah “turbo-lag” memang cukup menyusahkan pemandu khususnya di arena perlumbaan.

Tetapi sebagai kaki kereta kami sebenarnya cukup gemarkan sistem “anti-lag” konvensional untuk mengatasi masalah pada kehilangan kuasa pada enjin turbo. Walaupun ia lebih bising tetapi ia juga cukup dramatik khususnya sewaktu lidah api menyembur dari belakang paip ekzos.

Tetapi itulah, dunia kini sudah semakin maju dan penyelesaian perlu dicari untuk menggantikan teknologi lama yang menyumbang kepada pencemaran alam sekitar. Hasilnya lahir teknologi yang diperkenalkan oleh Porsche ini.

 

 

(Visited 77 times, 1 visits today)

Share this post

scroll to top