Buletin

PORSCHE 993 TURBO YANG PERNAH DIMILIKI SULTAN BRUNEI HENDAK DIJUAL!

Sultan Hassanal Bolkiah pada 5 Oktober lalu telah meraikan tahun ke-50 di atas takhta Kesultanan Brunei dengan penuh meriah. Baginda merupakan salah satu individu terkaya di dunia dan sejak dari dulu mempunyai koleksi kereta yang menggagumkan.

Koleksi kereta baginda jarang didedahkan media dan sekali ia dipaparkan pasti ada kisah yang menarik untuk diketengahkan. Sebagai contoh Porsche 993 Turbo Cabriolet yang pernah dimiliki baginda ini.

Porsche 993 Turbo Cabriolet tahun 1995 ini bakal dibuka untuk bidaan oleh pelelong antarabangsa Coys pada acara Spirit of Motoring di Royal Horticultural Halls, London 17 Oktober ini.

Selain Porsche ini, terdapat lebih dari 80 buah lagi kereta klasik dan sport termasuk Ferrari Dino 246 tahun 1971 dibuka untuk bidaan.

Terdapat kisah menarik di sebalik Porsche 993 Turbo Cabriolet. Pertama sekali, Porsche hanya mengeluarkan 14 unit 993 Turbo Cabriolet dan model yang pernah dimiliki baginda ini satu-satunya di dunia mempunyai pemanduan sebelah kanan. 

Ketiga, Porsche 993 Turbo adalah model yang bagus dan mendapat pujian dari jurnalis serta pemilik, cuma satu saja perkara tentang model ini, ia tidak pernah dikeluarkan dalam bentuk cabriolet.

Menyedari hakikat itu, Herr Fritz Haberl iaitu individu yang memiliki syarikat pengedar MAHHAG di Munich, Jerman yakin bahawa terdapat pasaran untuk versi cabriolet dan beliau telah mencadangkan idea tersebut kepada Porsche. 

Selepas beberapa tempoh mesyuarat diadakan, tiada jawapan balas dari Porsche sehinggakan beliau berasa bahawa cadangannya ditolak dan pada masa itu lah Porsche memberi maklum balas tetapi dengan satu syarat. Jika Haberl boleh mencari 12 pembeli yang sanggup memilikinya, Porsche akan membina versi cabriolet yang dimahukan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Coys, Chris Routlegde, kereta ini mempunyai prestasi hebat tetapi terlindung di sebalik reka bentuk yang bersahaja dengan 14 unit sahaja dihasilkan. Porsche membina kereta ini dari nombor casis 8501 hingga 8514 dan unit yang hendak dibida memegang nombor casis 8513.

Routledge turut menambah harga jualan kereta ini pada waktu tersebut ialah AS 176,000 dan ia dilengkapi pelbagai ciri-ciri unik seperti roda aloi ‘cup’ 17 inci, kerusi Komfort larasan elektrik, spoiler belakang, penyaman udara dan sistem ekzos istimewa. 

Sijil Ketulenan dari Porsche untuk unit ini menunjukkan spesifikasi tambahan sehingga dua mukasurat! 

Dari segi jualan, Haberl memaklumkan enam unit model ini dijual di Jerman manakala bakinya untuk pelanggan di serata dunia. Unit dengan nombor casis 8513 dimiliki oleh Sultan Brunei dan ia didaftarkan pada bulan Mei 1995.

Sebelum sampai ke acara ini, 993 Turbo Cabriolet yang disimpan oleh pemilik Eropah sejak tahun 2009 hanya mempunyai jarak perjalanan 9,000 km sahaja.

Harga Porsche 993 Turbo Cabriolet dengan nombor casis 8513 ini dianggarkan di antara GBP 500,000 hingga GBP 700,000 atau RM 2,780,901 hingga RM 3,892,679.

Tidak mahal pun kerana selain satu-satunya unit pemanduan kanan di dunia, Porsche ini pernah dimiliki oleh Sultan Brunei. Itu yang mahal sebenarnya.

BACA: PORSCHE 911 TURBO 1975 INI MASIH BERNAFAS WALAUPUN SELEPAS CATAT 1.165 JUTA KILOMETER PERBATUAN

BACA: OK. YANG INI MEMANG GILA. PORSCHE CARRERA DENGAN ENJIN V8 AMERIKA

Google ads
Back to top button