PORSCHE CAYENNE GENERASI KETIGA DILANCARKAN – 2 VARIAN, BERMULA RM745K

SHARE

Sime Darby Auto Performance (SDAP) hari ini melancarkan Porsche Cayenne generasi ketiga Porsche Cayenne.

Cayenne serba baharu ini dilancarkan dalam dua varian iaitu Cayenne dan Cayenne S. Harganya, Cayenne boleh anda miliki pada harga RM745,000 seunit, manakala Cayenne S berharga RM890,000.

Harga sifar GST ini hanya sah untuk model-model yang diserahkan sebelum 31 Ogos 2018.

Cayenne dikuasakan oleh enjin V6 turbocharged yang menjana kuasa 340hp dan tork maksimum 450Nm. Ia mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa 6.2 saat (5.9 saat untuk Sport Chrono Package) dengan pecutan maksimum 245km/j.

Cayenne S pula menggunakan khidmat enjin V6 twin-turbocharged bersesaran 2.9 liter berkuasa 440hp dan tork 55Nm. Cayenne S berupaya memecut dari 0-100km/j dalam masa hanya 5.2 saat (Sport Chrono Package: 4.9 saat) dengan pecutan maksimum 265km/j.

Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear Tiptronic S lapan kelajuan yang menjanjikan pemanduan lebih mengujakan.

Cayenne dibina berasaskan kepada 911. Buat pertama kalinya, jentera ini dipasang dengan stereng gandar belakang dan saiz tayar berbeza. Ciri tipikal kereta sports ini dipertingkatkan lagi dengan ciri pacuan semua roda aktif sebagai standard.

Bukan itu sahaja, Porsche 4D Chassis Control, suspensi udara dan sistem Porsche Dynamic Chassis Control (PDCC) turut disertakan. Model baharu ini juga 65kg lebih ringan berbanding generasi terdahulu dan tetap sesuai untuk dipandu di laluan off-road.

Cayenne menggabungkan tiga konsep chasis dalam satu reka bentuk: kereta sports, jentera off-road dan touring. Ia terdiri daripada sebuah chasis lebih ringan dengan gandar hadapannya hadir bersama sambungan berbeza dan gandar jenis multi-link di belakang.

Saiz minimum rim Cayenne ialah 19 inci, tetapi Porsche ada menawarkan saiz rim sehingga 21 inci kepada pelanggan.

Perubahan paling ketara pastinya ruang kabin. Ia kini dilengkapi skrin sentuh HD sepenuhnya bersaiz 12.3 inci Porsche Communication Management (PCM) generasi terkini yang sebelum ini dilancarkan pada Panamera baharu.

Tipikal gaya Porsche, pemandu dihidangkan dengan takometer analog. Di samping dua paparan HD penuh bersaiz tujuh inci yang memaparkan semua data pemanduan yang dipilih daripada butang kawalan pada stereng.  

Cayenne hadir bersama jaminan dan pakej penyelenggaraan percuma yang melibatkan servis, alat ganti dan kos buruh selama empat tahun.

GALERI

Share this post

scroll to top