Buletin

PROJEK KERETA NASIONAL BAHARU – SIAP TAHUN 2020 DAN 7 PERKARA YANG PERLU ANDA TAHU MENGENAINYA

Sedia maklum bahawa Malaysia kini dalam rangka untuk membangunkan satu lagi jenama kereta nasional.

Pagi tadi, dalam satu sidang media yang berlangsung di MIGHT (Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia) Partnership Hub di Cyberjaya, sejumlah perincian mengenai keretersebut didedahkan.

Panel sidang media tersebut ialah Presiden dan Ketua Eksekutif MIGHT, Datuk Dr. Mohd Yusoff Sulaiman serta Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusoff.

Terlebih dahulu, ia kini mahu dikenali sebagai Projek Kereta Nasional Baharu (PKNB) dan bukan lagi kereta nasional ketiga seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.

Saya tidak boleh nafikan masih terlalu banyak persoalan yang boleh ditimbulkan mengenai inisitif terbaharu ini. Namun, beri sedikit masa dan kita lihat perkembangannya nanti.

Sebelum itu, berikut adalah 7 perkara yang perlu anda ketahui mengenai PKNB setakat ini:

1. Dikoordinasi oleh MIGHT

MIGHT akan bertindak selaku koordinator PKNB. Badan itu berfungsi menyelaras kerjasama di antara pelbagai kementerian, agensi kerajaan, pemain industri dan akademik.

2. Tidak melibatkan dana kerajaan

Pembangunan kereta ini langsung tidak menggunakan dana awam atau bantuan kewangan daripada kerajaan. Sebaliknya, ia dibina menerusi pembabitan sektor swasta.

Sektor swasta itu pula merangkumi syarikat-syarikat pengeluar komponen elektronik, komposit dan sebaginya. Antara syarikat yang dikatakan berpotensi untuk menjadi sebahagian daripada projek ini ialah pengeluar chip, SilTerra dan Composites Technology Research Malaysia (CTRM).

Inisiatif ini juga membolehkan vendor-vendor tempatan meningkatkan kualiti dan memasarkan produk mereka ke pasaran yang lebih besar. Bukan itu sahaja, PKNB boleh menjadi platform untuk merancakkan pertumbuhan syarikat start-up di Malaysia.

3. Revolusi Industri 4.0

PKNB dibina berteraskan kepada Revolusi Industri 4.0 yang melibatkan kemajuan dalam bidang robotik, data raya (big data), augmented reality, perkomputeran awan, internet of things (IoT), Cetakan 3D, keselamatan siber, AR/VR dan sebagainya.

4. Platform modular

Buat masa sekarang, segmen kenderaan untuk kereta nasional baharu ini masih belum ditetapkan. Memandangkan ia bakal dibina di atas platform modular, maka tiada masalah untuk membangunkannya menjadi SUV, sedan, MPV atau sebagainya.

Lebih menarik lagi, ia turut mengambil input daripada golongan belia dan pastinya dapat memenuhi citarasa pengguna semasa. Setakat ini, kaji selidik yang dijalankan oleh MIGHT ke atas 300 hingga 400 orang pelajar mendapati mereka mahukan sebuah kereta yang autonomous, selamat dan murah.

Tipikal orang Malaysia, nak semua ada, tapi murah. Hurmmm…

5. Semi-autonomous

Kereta baharu ini akan dilengkapi dengan teknologi automotif terkini seperti bantuan pemanduan semi-autonomous dan terhubung (connected cars).

Justeru, ia tidak bersaing secara langsung dengan Proton dan Perodua yang dilihat menggunakan model penghasilan kereta secara konvensional. Malah, model itu dihasilkan untuk pasaran global.

6. Prototaip siap awal tahun 2019, produksi penuh 2020

MIGHT menjangkakan prototaip ini dapat disiapkan menjelang awal tahun depan. Sementara produksi lengkapnya dijadual menemui pengguna pada tahun 2020.

Kenapa begitu cepat? Sebabnya, kereta ini menggunakan teknologi disruptif yang membolehkan pelbagai tugasan dilakukan dalam tempoh jauh lebih singkat.

Saya faham memang ramai yang skeptikal dengan sasaran ini. Tetapi apa yang kita boleh buat sekarang ialah tunggu dan lihat perkembangannya.

7. Kereta Malaysia untuk pasaran ASEAN

PKNB tidak mensasarkan pasaran Malaysia semata-mata, tetapi mahu meneroka pasaran ASEAN yang dikatakan mempunyai 600 juta penduduk. Langkah ini perlu kerana pasaran automotif Malaysia kini hampir tepu dengan jumlah volum keseluruhan (TIV) tahun cuma mencecah 600,000 unit kenderaan setahun.

Gaya pemasaran bagi PKNB juga akan berbeza. Sebagai contoh, ia boleh dijual melalui platfrom e-dagang yang semakin diterima oleh generasi muda.

Google ads
Back to top button