Buletin

PROTON CATAT JUALAN 4,524 UNIT PADA SEPTEMBER – SERAP SST & REBAT SEPANJANG OKTOBER

Selepas tiga bulan berturut-turut mencatat rekod kenaikan jualan pada 2018, jualan kereta di Malaysia menyusut pada September berikutan pelaksanaan Cukai Perkhidmatan dan Jualan (SST).

Proton dilhat berjaya mencatat jualan paling tinggi sejak 36 bulan lalu dengan 9,501 unit sepanjang Ogos dan turun menjadi 4,524 unit pada September.

Meskipun terdapat penurunan, pegangan pasaran Proton meningkat kepada 15 peratus, pegangan tertinggi sejak Mei 2017.

Serap SST

Peningkatan keseluruhan pegangan pasaran menunjukkan jualan Proton kekal positif berbanding pesaing utamanya.

“Kami menjangkakan penyusutan TIV pada September berikutan pelaksanaan GST sifar sepanjang tiga bulan sebelumnya yang telah meningkatkan jumlah jualan luar biasa.

“Selepas pembeli membuat pembelian kereta baharu dan SST dilaksanakan, pembeli kembali kepada corak pembelian normal dan berlaku pembetulan dalam jangka masa pendek.

“Justeru, Proton mengambil keputusan untuk meminimumkan impak dengan menyerap SST. Langkah ini jelas memberi kesan positif apabila jumlah jualan keseluruhan naik mendadak,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Abdul Rashid Musa.

Selain penjimatan yang ditawarkan, kualiti kereta Proton dilihat lebih baik sejak Audit oleh pihak Geely dilaksanakan. Program seperti One Tank Adventure yang diadakan baru-baru ini pula berjaya meningkatkan kesedaran bahawa kereta Proton juga menjimatkan bahan api.

Aktiviti pra-pelancaran X70

Sedia maklum bahawa Proton sekarang aktif mempromosikan SUV pertamanya, X70. Selepas sesi pra-tonton dengan pihak media, tempahan model itu dibuka

Pelanggan juga berpeluang melihat X70 secara dekat menerusi program pra-tonton yang bermula pada 19 September melibatkan tujuh bandar di Malaysia.

Proton mensasarkan untuk mendekati lebih 6,000 orang pembeli melalui sesi ini, sekali gus meningkatkan jumlah tempahan. Ini merupakan kali pertama Proton melakukan inisiatif sebegitu sebelum model baharu dilancarkan.

Harga tanpa SST dan rebat sepanjang Oktober

Pelanggan boleh menikmati tawaran harga tanpa SST untuk semua kereta Proton kerana ia mahu melanjutkan tempoh penyerapan SST selama sebulan lagi. Rebat tambahan sehingga RM3,000 ke atas model terpilih juga ada ditawarkan.

“Matlamat kami adalah untuk mengekalkan jualan yang konsisten, selari dengan pengenalan Proton X70 tidak lama lagi,” kata Rashid lagi.

Google ads
Back to top button