Buletin

PROTON CATAT JUALAN 7,007 UNIT PADA JANUARI 2019 – X70 PALING LAKU DENGAN 2,777 UNIT

PROTON memulakan tahun 2019 dengan pencapaian memberangsangkan apabila mencatatkan peningkatan pendaftaran kepada 7,007 unit pada Januari 2019.

Proton X70 menjadi penyumbang terbesar dengan 2,777 unit telah didaftarkan dalam tempoh tersebut. Angka itu juga membolehkan X70 mencatat rekod baharu sebagai SUV segmen C paling banyak didaftarkan dalam masa sebulan.

Berbanding bulan sebelumnya, jualan PROTON telah meningkat sebanyak 33.6 peratus. Dari segi perbandingan dari tahun ke tahun pula, angka tersebut mewakili pertumbuhan sebanyak 46.5 peratus daripada Januari 2018.

Selepas pelancarannya pada 12 Disember 2018, penyerahan Proton X70 juga semakin rancak.

Pegangan pasaran dianggarkan pada 14.5 peratus, meskipun angka sebenar hanya akan disahkan selepas data jualan industri dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Satu lagi pencapaian PROTON ialah jumlah kemudahan yang ada pada cawangan 3S/4S. Sehingga akhir bulan ini, terdapat 74 cawangan PROTON 3S/4S dan pengedar beroperasi dan akan lebih banyak cawangan dibuka sepanjang tahun ini.

Cawangan-cawangan tersebut akan bekerjasama bagi membantu PROTON mencapai sasaran Indeks Perkhidmatan Jualan (SSI) dan Indeks Perkhidmatan Pelanggan (CSI).

PROTON juga berusaha untuk mengekalkan momentum jualannya pada Februari dengan mengadakan promosi Ang Pow.

Promosi itu membolehkan pelanggan yang layak untuk berjimat sehingga RM4,000 bergantung pada model yang mereka pilih.

Google ads
Back to top button