Buletin

PROTON DEDAH FOTO RASMI PCC

Melalui satu laman microsite, Proton semalam telah menunjukkan sebahagian daripada rupa model kompak terbaharunya yang kini hanya dikenali sebagai Proton Compact Car (PCC). 

proton-PCC-mekanika (3)

Namun, untuk melihat wajah penuh PPC, anda perlu berusaha sedikit. Langkah pertama, buka laman web www.betulbetulonz.com.my sebelum mengimbas kod QR yang disediakan menggunakan telefon pintar dan tekan ‘Accept’.

Kemudian minta tiga lagi kawan anda untuk buat perkara sama. Akhir sekali, gabungkan keempat-keempat telefon pintar tadi untuk melihat imej keseluruhan PCC. Kreatif juga!

proton-PCC-mekanika (5)

Antara gambar yang disediakan termasuklah foto lampu utama, lengkap bersama perkataan Proton pada bahagian sisinya. Sebagai sebuah model yang moden, PCC juga tampil dengan sistem kawalan audio dengan skrin sentuh, paparan kamera mengundur, butang penghidup enjin dan enam beg udara (pastinya bergantung kepada varian).

Dengan ciri keselamatan yang dikenali sebagai Vehicle Dynamic Control (VDC), tidak hairanlah jika PCC telah menerima penarafan lima bintang daripada ANCAP.

Kemunculan gambar rasmi PCC yang tidak dijangka ini merupakan sebagai satu ‘hadiah’ istimewa Proton buat rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara yang ke-57.

proton-PCC-mekanika (4)

Berdasarkan kepada maklumat yang bertebaran di internet sejak kebalakangan ini, PCC didakwa bakal dijana oleh unit enjin bersesaran 1.3 liter (mungkin bersama sistem pengecas turbo) dan enjin berkapasiti 1.6 liter yang dipadankan dengan kotak gear automatik CVT.

Proton sudah lama dikenali sebagai pengeluar kenderaan yang menawarkan harga lebih murah berbanding pesaing sekelasnya. Tetapi, lain kesnye dengan PCC. Pengerusinya yang juga mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membayangkan bahawa pengguna perlu membayar harga yang sedikit tinggi untuk PCC.

proton-PCC-mekanika (6)

Ini kerana PCC ialah sebuah kenderaan yang menepati standard global dari segi rekaan, teknologi dan ciri keselamatannya. Jadi, pengguna perlu membayar untuk menikmati semua kelebihan tersebut.

Kemunculan PCC juga dilihat sedikit sebanyak berjaya mengalih perhatian orang ramai yang kini tidak sabar menunggu kemunculan model kompak terbaharu Perodua, Axia. Walaupun PCC sebenarnya bersaing secara langsung dengan model Myvi, tetapi disebabkan tempoh pengenalan yang begitu hampir (kedua-duanya dijangka dilancarkan pada September) membuatkan PCC seperti bersaing dengan Axia untuk mendapatkan perhatian pengguna.  

proton-PCC-mekanika (1)

Satu perkembangan yang cukup menarik. Sama-sama kita tengok, siapa yang kena!

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button