PROTON – KISAH SEMALAM, HARI INI DAN RANJAU HARI ESOK…

SHARE

Saya masih ingat lagi satu pagi di tahun 1985, seorang jiran membawa pulang sebuah Proton Saga yang baru dibeli. Kebanyakan orang kampung berkerumun, kereta beliau jadi duta di kampung kami. Semua orang membelek-belek, semua berwajah ceria melihat kereta pertama negara yang dilancarkan dalam televisyen oleh Tun Mahathir kini di depan mata.

Papan pemuka berwarna biru, panel pintu dengan kemasan yang sama, jam digital di bahagian tengah, kluster meter dan paling penting rekabentuknya mendahului zaman. Ketika kereta lain mula beralih dari bulat kepada simetri berkotak (lihat Toyota LE, Nissan Sunny dan Honda Civic SB), Proton Saga muncul dalam bentuk simetrikal tajam dengan logo bulan dan bintang melambangkan MALAYSIA.

Mitsubishi YE-Triton-Mrec-Desktop

BACA – PANDUUJI PROTON PERSONA KL-KUANTAN

BACA – NILAI KLASIK PROTON SAGA MEGAVALVE

Kami cukup berbangga pada saat ini. Proton menjadi kereta mampu milik pertama di negara ini dengan model 1.3S jadi taruhan pada harga RM17,000. Enjin 1.3S Orion dengan transmisi 5 kelajuan manual itulah yang didambakan hampir setiap warga Malaysia yang berangan-angan memiliki kereta pandu sendiri. Bagi yang lebih berkemampuan, model lebih premium 1.5 dengan harga RM19,000 masih merupakan pilihan terbaik berbanding kereta jenama lain di era tersebut.

Proton-saga-iswara-mekanika (1)

Tanpa menoleh ke belakang, Proton melakukan kayuhan pantas. Pada tahun 1989, Proton mula dieksport ke UK dan hanya beberapa tahun selepas itu menjadi jenama baru yang paling berjaya di sana.

Menjual 5,000 unit kereta dalam 6 bulan di sebuah negara yang pernah menjajah kita sudah tentu menerbitkan sentimen bangga pada setiap warga Malaysia. Beritanya mula tersebar di dada akhbar dan tidak dinafikan, Proton adalah lambang konglomerat automotif moden yang sangat berjaya.

Tanpa Mitsubishi Motor, Proton tak mungkin mampu berdiri sendiri pada waktu itu. Tanpa Mitsubishi Fiore, dah tentulah tiada Proton Saga. Tetapi itu bukan semata-mata sebabnya. Syarikat ini perlu diurus dengan baik sebagaimana perniagaan lain.

Sebagai contoh, Indonesia pernah cuba menjejaki kejayaan Proton dengan menubuhkan TIMOR (Teknologi Industri Mobil Rakyat) dengan berkerjasama dengan Kia pada pertengahan 90-an. Mereka tidak bernasib baik kerana krisis Asia yang melanda menyebabkan guru mereka, Kia bankrap. Projek tersebut ditamatkan sepenuhnya sebelum tahun 2000.

Balik kepada perusahaan Proton, ketika zaman gemilangnya kereta Proton Saga, setiap produk yang dihasilkan ditunggu-tunggu oleh pembeli. Ketika hak edaran diberikan sepenuhnya kepada EON, kereta dijual dengan spesifikasi dan aksesori berbeza-beza dan polisi perniagaan nampak sedikit aneh. Secara positifnya, Proton mungkin ingin mempelajari teknik edaran dari Jepun di mana sesetengah model dipasarkan oleh pengedar berlainan.

PELANCARAN PROTON SAGA SV

Contohnya Toyota di Jepun, setiap model kereta diedar oleh pengedar berbeza Toyota, Toyopet, Netz dan Corolla. Tapi mungkin Proton tidak lihat skala ekonomi mereka yang sangat besar. Mereka mungkin tidak sedar bahawa itu hanya berlaku di negara matahari terbit sedangkan Toyota di luar Jepun hanya ada 2 pengedar utama, Toyota dan Lexus yang dikawal penuh oleh pemegang francais tersebut.

Menjelang pertengahan 90-an kita sudah mula dengar cakap-cakap tentang kualiti kereta Proton. Paling tidak boleh dipisahkan ialah masalah tingkap kuasa (power window) yang sangat sinonim dengan Proton. Sehinggakan sewaktu zaman Dato’ Syed Zainal menjadi CEO beliau terpaksa memulihkan imej ini dengan memberi jaminan seumur hidup pada unit power window. Sesuatu yang tidak pernah dibuat dalam industri automotif moden.

Sudah jelas pada ketika ini, masalahnya bukan datang pada mekanisme, ia berkenaan kualiti. Semua dimensi, ukuran, mekanisme dan aspek teknikal bahagian-bahagian kereta ini sudah diuji lama oleh Mitsubishi pada produk mereka. Sepatutnya tiada masalah kerosakan, KALAU mereka ikut standard pengeluaran vendor Mitsubishi.

Menjadi vendor Proton waktu ini ibarat menang tender kerajaan, perniagaan tentu-untung. Delivery order pun tak payah risau siapa yang nak turunkan tandatangan. Bayangkan setelah 15 tahun Saga/Wira di pasaran, masalah power window ini masih wujud. Samada pengilang yang salah rekaan dari hari pertama ataupun ia adalah perniagaan tutup mata asalkan kereta boleh dijual.

Ketika Proton Wira diperkenalkan pada 1993, Satria dan Perdana pada 1995, Putra 1997 dan Satria Gti, Proton Saga tetap jadi produk garis masa yang penting. Kesinambungan kesemua produk ini lah yang membolehkan Proton menguasai lebih 60 peratus pasaran jualan kereta di Malaysia. Walaupun berjaya mengatasi krisis ekonomi 1997 dengan baik, Proton banyak melakukan kesilapan sewaktu mereka sedang hidup mewah.

mekanika, kereta, motor, honda, toyota, mitsubishi, enjin, nissan, ford, mekanika malaysia, model kereta, automotif, automotif dunia, buletin, buletin kereta, rebiu, pandu uji, rebiu kereta, pandu uji kereta, modifikasi, modifikasi kereta, peranti, peranti IT, motosikal, stail, pemotoran, Proton, Lotus, Goldstar,

Pada 1996, Proton mengambil alih pegangan saham majoriti syarikat Lotus. Mungkin terinspirasi bagaimana Tan Sri Khalid Ibrahim membawa balik Guthrie Plantation kembali ke tanahair. Pengurusan memberi alasan untuk perpindahan teknologi namun, ia tidak signifikan dengan skala ekonomi Proton sebenarnya. Falsafah Lotus itu sendiri pun kita tidak boleh terjemahkan dalam industri kereta keluaran komersial.

Proton Tiara pada tahun 1996 – Saya kira ini adalah refleks di mana Proton melihat Perodua yang mula menguasai pasaran kereta kecil di Malaysia. Tetapi mengadakan kerjasama dengan Citroen adalah satu tindakan yang benar-benar salah. Kereta aneh 1.1 liter dengan rim 3 skru pada harga RM36,000? Oh tidak…

Proton mula mencari identiti sendiri pada tahun 2000 dengan menghasilkan kereta pertama mereka Proton Waja. Ia adalah kereta dengan perkongsian platform Volvo S40 dan Mitsubishi Lancer Cedia. Dari sini, kita dapat lihat kesungguhan Proton cuba kendiri tanpa Mitsubishi sepenuhnya.

Ya, secara keseluruhannya, ia kereta pertama yang sangat bagus, cuma saya betul-betul tak boleh terima kenapa mesti tuil signal di sebelah kiri? Dan cuba lihat suis tingkap kuasa, pelik sepelik-peliknya. Mungkin pereka Proton fikir semua jari orang Malaysia sebesar jari kelingking?

Pada 2001 – Proton membuat keputusan salah lagi dengan memperkenalkan MPV Mitsubishi Townbox – Proton Juara. Ya, kita tak mahu Citroen-Proton atau Eropah-Proton, kita nak Proton-Jepun tapi tolonglah, bukan Juara pilihan kami.

proton kr3 kr5 (5)

Di tahun yang sama, Proton bekerjasama dengan Kenny Roberts dalam pasukan KR3. Satu lagi keputusan yang berteka-teki, jelas tiada kesinambungan pun dalam perniagaan teras Proton. Pasukan ini gagal mencatat kemenangan membanggakan dan ia sudah tentu dilihat sebagai pelaburan yang tidak berfaedah.

Pada 2005, Demi mengejar impian menguasai segmen penting penumpang, sekali lagi Proton membuat urusniaga dengan rakan Prancis mereka, Renault. Maka lahirlah Proton Savvy. Nampaknya Proton masih tak memahami pasaran. Orang Malaysia ni senang saja, letak enjin Jepun mereka akan beli sebab mereka tahu ia reliable dan tahan lasak. Enjin Renault dan bentuk pesawat pejuang F22 memang satu bencana.

Kesilapan demi kesilapan berlaku. Pada 2004, Proton membeli saham MV Agusta dan menjualnya pada 2005 dengan harga 1 Euro. Ia sangat mengejutkan dunia perniagaan, bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia. Samada ini keputusan perniagaan atau keputusan politik, anda nilaikan sendiri.

GST – HARGA KERETA PROTON TURUN 3.25 PERATUS

Menjelang pertengahan 2000, Proton kembali dengan memperkenalkan model-model berdaya saing yang mampu milik seperti Gen2, Persona, Iriz, Preve dan Suprima. Namun ia era yang suram bagi pembuat kereta Nasional ini bilamana penguasaannya turun mendadak sehingga 16 peratus.

Kebolehpercayaan terhadap jenama jatuh teruk. Persaingan sesama sendiri ibarat meletakkan 5 umpan yang sama dalam kolam yang ada seekor ikan. Krisis pengurusan, kecelaruan komposisi produk dan lewat menangani kritikan kualiti, servis lepas jualan tambah memburukkan keadaan.

Proton perlu berubah untuk berpaut semula ke landasan utama. Mereka tidak boleh terbabas lagi di pasaran yang kian sengit dan terbuka. Era perlindungan kerajaan, sentimen beli berdasarkan patriotik sudah lama berlalu. Proton perlu ada produk yang benar-benar dibina dari jiwa untuk rakyat Malaysia seperti Proton Saga.

Memposisikan semula segmen pasaran adalah langkah paling bijak yang dibuat untuk polisi era baru Proton sejak dimiliki DRB-HICOM. Cukup, tidak perlu memeningkan kepala pembeli untuk memilih samada Preve, Suprima, Persona (model lama) atau Inspira dalam satu kedai. Berikan mereka 1 pilihan bagi setiap kategori supaya lebih jelas.

Proton perlu fokus kepada produk mampu-milik daripada melabur kepada kereta mampu-buat. Kita tahu, Proton cukup kepakaran untuk membuat pelbagai jenis kenderaan tetapi buat kereta yang orang nak beli lebih penting dari buat kereta yang jurutera nak buat. Ini adalah perniagaan, bukannya hobi.

persona

Masa depan Proton sangat bergantung kepada pengenalan model mampu milik. Model seperti Saga dan Persona 2016 adalah kata kunci teras perniagaan Proton. Di situlah terletaknya rahsia kejayaan Perodua. Mereka kekal menjual kereta mampu milik. Nak kata tak pernah silap pun tidak juga. Waktu Perodua Nautica diperkenal pada 2008, kena sumpah-seranah juga. Kau dah hilang akal jual SUV Perodua harga 89K?

Proton perlu fokus pada produk-produk yang menepati kehendak massa. Setelah 30 tahun, Proton tidak nampak tanda-tanda untuk menghasilkan SUV atau crossover. Ia pasaran yang sedang berkembang. Lihat betapa larisnya HR-V, CX-5, CX-3, ASX dan err… Subaru XV?

SUV Proton boleh dibina dari platform sedia ada, mungkin dari Iriz dan hasilkan sesuatu seperti Kembara di bawah harga RM50K. Saya yakin 99 peratus, ia akan terjual asalkan pakejnya bagus (dan pastikan bukan datang dari teknologi Citroen/Peugeot/Renault!)

PUSAT SERVIS PROTON BUKA 7 HARI SEMINGGU

Tidak dinafikan, Proton hari ini kelihatan sangat komited untuk berubah. Mereka sudah mula menjalankan kempen pemasaran yang menjurus kepada kepuasan pengguna. Pengenalan servis 7 hari seminggu, aplikasi telefon bimbit, pakej-pakej jaminan dan selenggaraan percuma antara langkah yang telah diambil.

Pada satu ketika, saya berasa sangat sedih. Bagaimana Proton dengan dashboard biru waktu saya lihat pertama kali waktu kanak-kanak itu sudah hilang taringnya. Proton hari ini perlu bangkit dengan sesuatu yang membuka mata semua orang.

Proton perlu menang kerana namanya, maruah, jatidiri  dan bukan atas dasar simpati pembeli. Proton perlu bangkit sekarang atau mungkin mereka akan hadapi hari-hari mendatang yang lebih sukar… atau lebih tepat lagi kalau dikatakan, sangat-sangat sukar…

Share this post

scroll to top