Buletin

Proton Labur RM2 Bilion

Pelaburan dibuat untuk menyusun semula Proton City di Tanjung Malim, Perak.

Proton Holdings Bhd, anak syarikat DRB-Hicom Bhd akan membuat pelaburan sehingga RM2 bilion di bawah pelan penyusunan semula Proton City di Tanjung Malim, Perak dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang.

Memetik laporan Bernama, Pengerusi Eksekutif Proton Datuk Seri Mohd Khamil Jamil menyatakan bahawa pelaburan tersebut meliputi program pembangunan dan peningkatan Proton City. Ia turut mendapat kerjasama kerajaan negeri Perak.

“Pertumbuhan yang ketara dan perkembangan intensif akan berlaku dalam rancangan tiga tahun. Antaranya pembangunan seluas 38 hektar untuk kediaman,   25.5 hektar bagi ruang komersial dan 22.7 hektar lot industri,” katanya selepas lawatan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Proton City semalam.

Pembangunan utama di bawah pelaburan itu adalah rancangan membina sebuah sekolah menengah dengan kapasiti 1,200 pelajar bernilai RM40 juta. Pembinaannya  dijangka bermula pada tahun depan. Selain itu, sebuah sebuah sekolah agama dengan kos kira-kira RM2.5 juta juga bakal dibina.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin mengumumkan skim gaji minimum baharu untuk kakitangan Proton yang berpendapatan kurang RM900 sebulan. Skim itu akan dilaksanakan DRB-HICOM dan Proton bermula bulan ini.

Jelas Muhyiddin, gaji minimum baharu itu selari dengan garis panduan kerajaan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam Belanjawan 2013.

Hadir sama semasa lawatan itu ialah Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Proton City dibuka pada Ogos 2004. Ia  kini mengeluar tiga model Proton iaitu Persona, Gen2 dan Preve. Kilang itu terletak di kawasan seluas 517.12 hektar, lima kali lebih besar berbanding kilang Proton di Shah Alam yang mampu mengeluarkan 150,000 unit kereta setahun.

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button