PROTON PERDANA BAHARU – BERMULA RM113,888

SHARE

Selepas beberapa sesi prebiu dan diakhiri oleh pandu  uji ringkas di litar ujian Proton di Shah Alam bulan lalu, sedan segmen D terbaharu Proton, Perdana akhirnya dilancarkan secara rasmi pagi tadi.

Proton-Perdana-2016-mekanika (9)

Hadir dalam dua varian iaitu 2.0 dan 2.4 liter, Perdana boleh anda miliki pada harga bermula RM113,888 sehingga 138,888 seunit (di atas jalan termasuk insurans).

Sebagai model flagship Proton, Perdana generasi keempat itu dilihat sebagai model penting untuk mengembalikan keyakinan pengguna terhadap keupayaan pengeluar kenderaan nasional itu dalam menghasilkan kereta yang mampu memenuhi kehendak orang ramai.

Proton-Perdana-2016-mekanika (11)

Sejak dibuka pada Februari lalu, sebanyak 900 tempahan telah diterima oleh Proton setakat ini.

“Proton meletakkan sasaran untuk menjual 3,000 unit Perdana pada tahun ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ahmad Fuaad Kenali.

Proton-Perdana-2016-mekanika (1)

Sebagaimana sedia maklum, Perdana baharu ini merupakan hasil kerjasama strategik di antara Proton dan Honda Japan Ltd di bawah inisiatif perkongsian platform. Jadi, Perdana dibangun berasaskan kepada Honda Accord generasi kelapan.

Anda boleh melihat dengan jelas rekaan tersebut terutama pada bahagian dalamannya. Lihat sahaja pada papan pemuka yang lebar, sistem audio dengan skrin sentuh,  stereng multi fungsi, navigasi, pendingin hawa dua zon dan tempat duduk pemandu yang boleh dilaras secara elektrik.

Proton-Perdana-2016-mekanika (3)

Namun, melihat kepada penampilan luarannya, Perdana benar-benar berbeza. Ia kelihatan lebih menarik dengan aplikasi lampu HID bersama lampu nyalaan siang (DRL) LED. Di samping gril radiator krom Proton Wings, lampu kabus, bodykit serta rim aloi dua tona 17 inci untuk varian 2.4 liter.

Sementara varian 2.0 hadir dengan lampu utama jenis projektor, lampu DRL LED dan sebagainya.  Bahagian belakang pula menyerlah dengan lampu LED, kemasan krom dan logo Proton yang agak besar.

Proton-Perdana-2016-mekanika (6)

Perdana menggunakan khidmat enjin i-VTEC SOHC bersesaran 2.0L berkuasa 154hp dan 2.4 liter yang berupaya menjana kuasa mencecah 178hp @ 6,500rpm. Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik lima kelajuan. Bagi pembeli varian 2.4 liter, mereka boleh menukar kedudukan gear menerusi paddle shifter yang disediakan.

Dari segi keselamatan, Perdana dilengkapi empat beg udara, ABS, EBD, ISOFIX, kamera undur, lampu utama automatik, dan Electronic Stability Control (ESC) – untuk varian 2.4L sahaja.

Proton-Perdana-2016-mekanika (4)

Sedan ini didatangkan dalam enam warna iaitu merah, kelabu, perak, emas, hitam dan putih. Ia juga hadir bersama jaminan selama lima tahun atau perbatuan sejauh 150,000km (mana-mana tiba dahulu).

Share this post

scroll to top