Buletin

PROTON PERDANA DIBUKA UNTUK TEMPAHAN: RM120,00 – RM150,000!

Pengerusi Proton, Tun Dr. Mahathir hari ini mengumumkan bahawa Proton Perdana baharu kini sudah dibuka untuk tempahan.

proton-perdana-2016-booking-mekanika (1)

Pengumuman itu dibuat dalam satu sesi media khas di Pusat Kecemerlangan Proton di Shah Alam, Selangor.

Memandangkan ia satu sesi prebiu tertutup, saya tidak dapat kongsikan gambar sedan tersebut. Tetapi, apa yang boleh dikatakan ialah Perdana ini memang  meyakinkan. Mungkin, pesaing dalam segmen sama perlu rasa sedikit bimbang.

Ada beberapa ciri yang saya suka tentang Perdana ini. Antara yang paling menyerlah ialah rekaan hadapan dengan lampu utama jenis projector xenon LED, lampu nyalaan siang (DRL), lampu belakang LED nipis, rekaan garis badan seperti sebuah coupe, serta kemasan krom pada bingkai tingkap dan hendal pintu.

Sedia maklum bahawa Perdana dibina di atas platform Honda Accord generasi kelapan, jadi Perdana yang dipertontonkan ini dipasang dengan enjin aspirasi biasa (N/A) i-VTEC  2.4L. Kuasa yang mampu dihasilkan ialah 135kW dan tork 222Nm. Sedan itu juga akan ditawarkan dengan enjin 2.0L, juga daripada Honda.

Enjin baharu Proton bagaimanapun hanya akan dipasang pada Perdana mulai tahun 2017.

Harganya? Perdana boleh anda miliki pada harga anggaran di antara RM120,000 hingga RM150,000 seunit. Dengan pelbagai ciri menarik serta kebolehpercayaan kerangka dan rangkaian kuasa daripada Honda, tawaran ini memang sukar diketepikan.

“Proton Perdana akan dilancarkan pada suku pertama tahun ini. Kami mensasarkan jualan sekitar 500 hingga 600 unit sebulan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Abdul Harith Abdullah dalam nada optimis.

Harus tahu bahawa Perdana bukan produk yang ditukar lencana. Sebaliknya,  pengeluar kereta nasional itu membelanjakan ratusan juta untuk menghasilkan Perdana. Maka, perubahan yang dilakukan oleh Proton memang signifikan.

Menjengah ke ruang kabin, papan pemuka Accord dapat dilihat dengan jelas. Model yang dipamerkan ini menggunakan kemasan dalaman berwarna beige dan kayu. Secara peribadinya, saya kurang gemar. Namun ia tetap nampak luas dan mewah.

Bahagian dalaman ini turut dipasang dengan  sistem infotainmen bersama paparan kamera undur, navigasi, pendingin hawa dua zon, kerusi dengan pelarasan elektrik, paddle shifter dan cruise control (bergantung kepada varian). Ciri keselamatan yang ada ialah ABS, EBD, ESC, beg udara dan banyak lagi.

Oh ya, model serba baharu ini juga menjadi jentera pertama yang menggunakan logo baharu Proton.

Google ads
Back to top button