Artikel PilihanBuletin

PROTON PUTRA WRC, PERJUANGAN YANG BELUM SELESAI…

Sejak pertama kali melihat foto kereta ini dalam Galeria Perdana di Langkawi, saya tertanya-tanya spesis Proton apa kah ini? Ia tidak pernah berlumba dalam kancah rali tempatan. Kelibatnya tak pernah kelihatan.

Cuma beberapa keping foto Putra “sado” ini mula bertebaran di media sosial sejak tahun lepas. Kami cuba mengorek maklumat tetapi gagal. Kami juga seperti anda, sangat ingin tahu apakah sebenarnya cerita di sebaliknya sehinggalah baru-baru ini laman web carthrottle yang berpangkalan di UK telah mendapat gambaran sebenar kisah di sebalik Putra ini.

putra-wrc
Foto ini dipaparkan dalam Galeria Perdana di Langkawi dan dilabelkan sebagai “Proton World Rally Car”

Persoalannya, kenapa orang sejauh UK boleh mendapat maklumat di Malaysia?

Kerana ia ada kaitan dengan Prodrive. Syarikat kejuruteraan dan penala kereta perlumbaan terkenal dalam sukan rali yang berpusat di United Kingdom.

PROTON – SYARIKAT KECIL YANG MAHU DIKENALI DUNIA

Suatu ketika dahulu Proton sebagai syarikat kereta pertama negara telah mengambil inisiatif yang cukup agresif untuk memastikannya mendapat keyakinan para pembeli. Pelbagai cara dilakukan untuk mencapai matlamat tersebut dan yang paling diingati sudah tentulah penyertaan mereka dalam sukan rali.

Pada peringkat awal, Proton telah menceburi perlumbaan rali kebangsaan dengan menggunakan Proton Saga dan berjaya merebut kejuaraan rali tersebut. Kejayaan demi kejayaan dikecapi pada tahun berikutnya dengan mempertaruhkan model seperti Iswara dan Wira.

BACA – PROTON KR3, SEMANGAT PERJUANGAN

BACA – SUBARU V LIMITED JAGUH RALI

proton-putra-wrc-4

Sudah pasti kereta yang digunakan telah diubahsuai sepenuhnya bagi memastikan ia mampu membawa cabaran Proton sewaktu perlumbaan. Hasil kejayaan itu maka lahirlah model homologasi rali menerusi Wira 1.8-liter DOHC yang dilengkapi dengan beberapa elemen jentera rali Proton seperti spoiler belakang ala Lancer Evo, stereng serta tombol gear Momo dan tempat duduk Recaro untuk pemandu dan penumpang hadapan.

Selepas menakluki persada rali tempatan, Proton membuat perancangan untuk memasuki perlumbaan paling mencabar, rali dunia ataupun dikenali dengan nama World Rally Championship (WRC). Model yang dipilih untuk menggalas cabaran ini ialah Proton Putra.

Proton Putra adalah versi coupe Wira dan diperkenalkan pada tahun 1997 daripada model Mitsubishi Mirage Asti. Ia merupakan cubaan Proton untuk menghasilkan model sporty dan lari daripada imej kereta keluarga yang membosankan.

Untuk menggalas cabaran Proton dalam kejohanan WRC, Proton memerlukan bantuan pihak luar yang berkepakaran kerana mereka belum pernah bersaing di peringkat antarabangsa. Bagi tujuan itu, mereka telah memilih pakar perlumbaan yang sudah mempunyai pengalaman yang luas dalam arena rali antarabangsa, Prodrive.

Menariknya Prodrive juga mempunyai ikatan dengan pasukan yang menjuarai WRC iaitu Subaru. Bagaimanapun, pihak Proton berjaya meyakinkan Prodrive untuk membantu mereka membentuk pasukan rali yang baru hendak ditubuhkan itu.

proton-putra-wrc-5

Sebagai sebuah model yang sporty, Putra telah dipilih dan diserahkan kepada Prodrive untuk proses selanjutnya. Prodrive telah meleraikan kereta itu dengan sepenuhnya dan mula membina jentera rali yang bakal membelah pelbagai bentuk mukabumi dalam kejuaraan rali dunia yang cukup mencabar.

Mereka memulakan proses modifikasi bagi menepati kriteria yang ditetapkan oleh WRC. Langkah pertama ialah dengan menyumbat masuk enjin 4G63T 2.0-liter 4-selinder Mitsubishi yang cukup berkuasa ke dalam ruang enjin.

Enjin juga ditala sehingga mampu menjana 300 kuasa kuda sebelum disalurkan ke bahagian roda dengan menggunakan kotak gear sequential enam-kelajuan keluaran Hewland. Kerangkanya juga diperkuatkan dengan roll cage penuh dan digabungkan dengan pakej aero agar lebih aerodinamik.

Proton Putra ini juga menerima arch roda yang lebih besar selain bumper hadapan yang lebih ganas. pemotongan juga dibuat di bahagian hud depan untuk menyalur keluar udara panas dengan lebih berkesan dan membantu ciri aerodinamik. Bahagian belakang pula diakhiri dengan sebuah spoiler yang besar sebagai pelengkap pakej aerodinamiknya.

Sentuhan Prodrive pada kereta ini juga sangat jelas. Memandangnya dengan sekali imbas kita sudah dapat menangkap yang Putra ini berkongsi banyak persamaan dengan satu lagi ciptaan Prodrive iaitu Subaru Impreza WRC untuk musim 1998.

Dengan bantuan dan sokongan pasukan yang membantu Subaru merangkul kejuaraan WRC tiga tahun berturut-turut (1995, 1996 dan 1997) untuk kategori pengeluar, Proton dan Putra ini kelihatan sudah cukup bersedia untuk menggegarkan arena WRC.

Kemenangan bukannya sesuatu yang mustahil dan mereka sudah cukup yakin untuk bersaing dengan pasukan ternama lain seperti Ford, Toyota, Seat, Subaru dan paling ironik tentulah Mitsubishi sendiri.

BACA – PUEGEOT 3008 SERTAI RALI DAKAR

BACA – KERETA RALI SUBARU GAMBAR SUNGAI?

Pasukan Prodrive, bertanggungjawab sepenuhnya membangunkan Putra untuk perlumbaan WRC
Pasukan Prodrive, bertanggungjawab sepenuhnya membangunkan Putra untuk perlumbaan WRC

BERITA MENGEJUTKAN

Apa yang memeranjatkan semua pihak ialah bila Proton secara tiba-tiba menghentikan projek ini tanpa sebarang alasan diberikan. Semua rancangan untuk bersaing dalam WRC juga ditarik balik. Malah Putra WRC ini juga belum sempat didedahkan kepada umum.

Proton menafikan kewujudannya begitu juga dengan Prodrive yang terus senyap tanpa berita dan meneruskan kerja mereka dengan Subaru dan tidak pernah mengungkit lagi sebarang cerita tentang Proton Putra WRC.

Apa yang menhyedihkan, Proton Putra WRC ini merupakan satu projek yang membawa harapan yang tinggi untuk Proton menaikkan imej syarikat dan negara di mata dunia. Mereka juga berharap untuk membuka mata masyarakat dunia tentang produk mereka.

Malah Proton telah mendapatkan khidmat daripada pakar terbaik untuk tujuan itu. Tetapi walaupun dengan sokongan Prodrive, Proton tetap membatalkan hasrat untuk bersaing dalam kejohanan WRC.

proton-putra-wrc-1

TEORI KONSPIRASI

Walaupun Proton tidak pernah memberikan alasan mereka namun ianya sudah boleh dijangka. Spekulasi kedengaran bahawa antara sebabnya ialah kaitan secara langsung Prodrive dengan Subaru.

Penglibatan mereka dengan Proton sudah tentu sedikit sebanyak menggugat hubungan mereka dengan Subaru. Malah tidak mustahil kedua-dua pasukan akan merasa sangsi dengan khidmat yang diberikan Prodrive kepada saingan mereka.

Satu lagi teori ialah tekanan daripada Mitsubishi yang turut bersaing hebat dengan Subaru dalam kejohanan WRC. Syarikat gergasi Jepun itu sudah tentu tidak senang duduk jika anak didik mereka mencabar mereka secara bersemuka dalam kejohanan berprestij itu.

Apapun alasan yang diberikan yang menjadi mangsa tentulah dua buah prototaip Putra WRC yang kini tersadai kaku di dalam kawasan Proton Centre of Excellence, Shah Alam. Ia semestinya bukan untuk dijual tetapi ia adalah bukti keinginan dan keazaman Proton suatu ketika dahulu untuk mencabar kejohanan yang paling mencabar di dunia.

Abang-abang dan kakak-kakak yang pandu Myvi kuning mungkin tak nampak apa keperluan memasuki WRC tapi bagi warga veteran macam kami itulah harapan untuk menaikkan imej Malaysia di mata dunia…

 

Sumber

Carthrottle.com

Google ads
Back to top button