PUSAT PAMERAN RENAULT LEBIH EKSKLUSIF
TC Euro Cars (TCEC), pemegang tunggal francais kenderaan Renault di Malaysia menaik taraf bilik pameran utamanya di Petaling Jaya.
Langkah itu bagi menawarkan pengalaman lebih baik dan eksklusif kepada para pelanggan dan pengunjungnya.
Bilik pameran Renault yang ditambah baik itu kini menampilkan sebuah restoran dan pub baharu dikenali sebagai Tavern 13. Ia merupakan tambahan kepada kafe sedia ada. Tavern 13 yang kasual dan menyenangkan itu menjadi tempat ideal untuk pelanggan menunggu atau sekadar berehat.
Sentuhan jenama Renault ditambah dengan foto-foto aktiviti utama yang dijalankan di Malaysia. Paparan video klip berkaitan dengan Renault dan elemen penjenamaan lain turut dipamerkan.
Di bahagian luar bilik pameran, platform pameran kenderaan yang baharu dibina. Platform itu dapat dilihat dari arah jalan raya yang mempamerkan kenderaan seperti Captur dan Clio GT Line.
Selain itu, pelanggan juga boleh membuat temu janji dengan penasihat jualan untuk meletakkan kenderaan masing-masing di bilik pameran ini. Perunding Jualan Renault juga sentiasa bersedia untuk menawarkan bantuan mengambil dan menghantar kenderaan apabila sudah tiba masa untuk diservis.
“Penambahbaikan ini selari dengan komitmen dan kesungguhan kami untuk melangkaui ekspektasi para pelanggan Renault yang bijak menilai.
Dengan semua naik taraf ini, kami ingin menjalin hubungan lebih erat, sekali gus membolehkan TC Euro Cars memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif TC Euro Cars Sdn. Bhd., Kuan Kim Luen.
TCEC kini juga sedang mengembangkan dan menaik taraf rangkaian Renault untuk menyokong momentum pertumbuhan jenama tersebut di negara ini.
Baru-baru ini, TCEC menambah beberapa buah bilik pameran baharu di Seremban dan Johor Baharu untuk mengukuhkan lagi jenama Renault. Renault mempunyai 15 buah bilik pameran dan pusat servis di Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur.