BuletinMotosikal

PUSINGAN PEMBUKAAN ARRC: AZLAN RAIH PODIUM KEDUA DI THAILAND!

Azlan Shah Kamaruzaman kekal memberikan cabaran untuk mempertahankan gelaran keseluruhan SuperSports 600cc apabila sekali lagi menamatkan perlumbaan di atas podium pada Perlumbaan 2 Pusingan 1 Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, hari ini.

Selepas menamatkan perlumbaan pertama di tangga ketiga, semalam, pelumba Manual Tech KYT Kawasaki Racing itu sekali lagi berada di kedudukan ketiga dengan catatan masa keseluruhan 30’01.634s.

Pelumba berpengalaman dari Australia, Anthony West (Webike IKAZUCHI Racing) muncul juara setelah menamatkan 18 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 29’59.201s diikuti pelumba tuan rumah, Decha Kraisart (YAMAHA Thailand Racing TEAM) di kedudukan kedua dengan masa 30’01.101s.

Kemenangan Azlan turut dibantu oleh insiden kemalangan di selekoh terakhir melibatkan seorang lagi pelumba negara, Md Zaqhwan Zaidi (Musashi Boon Siew Honda Racing) yang gagal memintas dan berlaku perlanggaran bersama Ratthapong Wilairot (YAMAHA Thailand Racing TEAM) namun kedua-duanya berjaya bangkit untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-14 dan 15.

Nasib malang menimpa juara Perlumbaan 1, Thitipong Warokorn (Core Kawasaki Thailand Racing Team) yang gagal menamatkan perlumbaan akibat masalah jentera pada peringkat awal perlumbaan.

“Perlumbaan hari ini sangat sukar. Saya kehilangan cengkaman tayar sejak pertengahan perlumbaan lagi, lebih cepat berbanding pelumba-pelumba lain menyebabkan saya sukar untuk memintas dan mengekalkan kelajuan tinggi.

“Pada penghujung perlumbaan, kedudukan saya juga sedikit ketinggalan namun saya bernasib baik kerana berlaku sedikit perlanggaran di antara Zaqhwan dan Ratthapong di selekoh terakhir sekaligus membantu saya untuk menaiki podium dan kekal di kelompok atas dalam senarai keseluruhan,” jelas Azlan.

Dua podium di tangga ketiga membantu Azlan untuk berada di tangga kedua keseluruhan dengan mengumpul 32 mata manakala Anthony mendahului kedudukan keseluruhan dengan 45 mata. Thitipong di kedudukan ketiga dengan 25 mata diikuti Decha keempat, 20 mata.

KEPUTUSAN PERLUMBAAN 2

Superports 600cc

1 Anthony West (AUS) Webike IKAZUCHI Racing 29:59.201s

2 Decha Kraisart (THA) YAMAHA Thailand Racing TEAM 30:01.101s

3 Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 30:01.634s

4 Yuki Ito (JPN) YAMAHA Racing Team ASEAN 30:02.073s

5 Tomoyoshi Koyama (JPN) Musashi Boon Siew Honda 30:05.589s

Kedudukan Keseluruhan

1 Anthony West (AUS) Webike IKAZUCHI Racing 45 mata

2 Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 32 mata

3 Thitipong Warokorn (THA) Core Kawasaki Thailand Racing Team 25 mata

4 Decha Kraisart (THA) YAMAHA Thailand Racing TEAM 20 mata

5 Tomoyoshi Koyama (JPN) Musashi Boon Siew Honda 20 mata

Google ads
Back to top button