Buletin

RANGER PACU JUALAN NOVEMBER FORD

Ford Malaysia mengumumkan jualan runcit bulan November lalu sebanyak 830 unit. Kejayaan berkenaan dipacu oleh permintaan memberangsangkan terhadap model baharu Ford Ranger yang diperkenalkan Oktober lalu.

ford-ranger-facelift-2015-mekanika (1)

Model terlaris Ford di Malaysia itu mencatat jualan sebanyak 707 unit pada November.  Justeru, dalam tempoh setahun jualan  Ranger melonjak sebanyak 12 peratus kepada 8,477 unit.

“Para pelanggan di Malaysia mahukan kenderaan yang mampu menawarkan kombinasi terbaik dari segi kemampuan, keselamatan dan teknologi. Semua ini ada pada  Ranger baharu dan kehadirannya mendapat sambutan memberangsangkan daripada pengguna di seluruh negara,” kata Pengarah Urusan Malaysia dan Pasaran Membangun Asia Pasifik, Ford Motor Company, David Westerman.

ford-ranger-facelift-2015-mekanika (3)

Tambahnya, pihak Ford akan terus komited dalam memastikan jumlah stok sedia ada di semua rangkaian pengedar.

“Ini bagi memastikan proses penghantaran Ranger baharu keseluruh negara boleh dipercepatkan,” jelasnya.

ford-ranger-facelift-2015-mekanika (4)

Ford Ranger versi peningkatan itu ditawarkan dengan dua pilihan enjin. Enjin diesel 2.2liter Duratorq empat silinder dan 3.2 liter Duratorq lima silinder.

Ranger baharu ialah trak pikap paling berkuasa di Malaysia. Ia memiliki kapasiti mengangkut beban sehingga 1,200kg. Selain keupayaan mengharungi air sedalam 800mm.

ford-ranger-facelift-2015-mekanika (2)

Bulan November turut menyaksikan pencapaian penting buat Ranger baharu menerusi tiga pengiktirafan. Ranger telah diberi penarafan maksimum lima bintang oleh Program Penilaian Kereta Baharu ASEAN (ASEAN NCAP) dengan jumlah skor keseluruhan 15.45/16.

Meneruskan momentum itu, Ranger juga dipilih sebagai Trak Pikap Terbaik pada acara ASEAN Car of The Year (COTY 2015). Varian tertinggi Ranger Wildtrak juga menerima pengiktirafan sama pada anugerah New Straits Times-Maybank Car of the Year COTY 2015.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button