Buletin

RENAULT CAPTUR CKD – LEBIH MAMPU MILIK, RM109,000 SEUNIT!

Renault dan TC Euro Cars (TCEC) akan memasang model crossover Renault Captur untuk pasaran Malaysia. Langkah itu diambil bagi memenuhi permintaan terhadap kenderaan kompak Eropah popular tersebut.

Selain spesifikasi dan ciri-ciri sedia ada yang boleh didapati pada versi import, Renault Captur pemasangan tempatan (CKD) itu kini diiktiraf sebagai sebuah EEV (Kenderaan Cekap Tenaga). Ia ditawarkan pada harga baru iaitu RM109,000 (di atas jalan termasuk GST, tanpa insurans untuk Semenanjung Malaysia dan pendaftaran peribadi).

Renault Captur CKD tampil dalam satu kombinasi warna baharu, merah (Flame Red) dan bumbung hitam. Pelanggan juga boleh mendapatkan tempat duduk yang dibalut kulit pada harga tambahan.

“Dengan harga baru, Captur boleh menjadi satu pilihan yang sangat menarik untuk pengguna,” kata Ketua Pegawai Eksekutif TCEC, Kuan Kim Luen.

Renault Captur CKD akan dijual secara rasmi bermula 19 April 2017. 100 orang pelanggan terawal yang membuat tempahan bakal menikmati rebat penjimatan tambahan sebanyak RM11,000. TCEC juga akan mempamerkan Renault Captur di ruang pameran LG, Oval Concourse, pusat membeli-belah 1 Utama pada 19 – 23 April 2017.

Captur dihasilkan di kilang Tan Chong Motor Assemblies (TCMA) di Segambut, Kuala Lumpur. Ia merupakan model pemasangan tempatan yang ketiga buat Renault di Malaysia. Kemudahan TCMA telah pun melepasi penilaian dan standard kualiti ketat yang ditetapkan bagi memastikan kilang tersebut mampu mematuhi spesifikasi yang disahkan oleh Renault.

“Malaysia menjadi satu-satunya negara selepas kemudahan Renault di Sepanyol yang memasang Captur. Ini jelas membuktikan komitmen berterusan Renault terhadap pasaran Malaysia,” kata Kim Taejoon, Naib Presiden, Rantaian Pembekalan Renault Asia-Pasifik.

Captur ialah sebuah model paling laris Renault dengan lebih 760,000 unit telah dihasilkan sejak tahun 2013. Ia menjadi model nombor satu dari segi jualan dalam segmennya di pasaran Eropah.

Bergaya dan praktikal, Renault Captur jelas menyerlah berbanding yang lain menerusi gayaan ekspresif serta warna dua tona pada bahagian luarannya. Bentuknya yang kompak, posisi pemanduan tinggi dengan jarak kelegaan tanah yang luas dan rim bersaiz 17 inci memang ideal untuk pemandu yang berjiwa muda.

Perhatian khusus turut diberikan kepada bahagian kabin yang direka supaya mesra penumpang. Antaranya termasuklah pelapik tempat duduk berzip yang boleh dibuka untuk dibasuh. Papan lantai butnya boleh diterbalikkan di antara karpet dan plastik. Manakala tempat duduk yang boleh digelongsor dan dilipat pada konfigurasi 60:40 untuk meningkatkan ruang but.

Renault Captur dikuasakan oleh enjin turbocharged TCe 120 yang dipadankan dengan transmisi Efficient Dual Clutch (EDC) enam kelajuan. Ia mampu menghasilkan kuasa tork lebih tinggi berbanding enjin aspirasi biasa bersesaran 1.8L. Crossover itu dapat menawarkan penjimatan bahan api luar biasa sehingga 5.4L/100km[1].

Ciri-ciri standard dan sistem keselamatan merangkumi:

  • Lampu utama automatik dan alat pengesan hujan (Rain Sensors)
  • MediaNav dengan skrin sentuh bersaiz 7”, AUX, USB, Bluetooth, Navigasi dan Kamera Undur
  • Sistem kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin
  • Mode Eco untuk penjimatan tambahan sehingga 10 peratus
  • Empat unit beg udara – dua di hadapan dan dua di bahagian kepala/thoraks sisi.
  • Electronic Stability Control (ESC) dengan kawalan cengkaman (traction control)
  • Hill Start Assist

Renault Captur pemasangan tempatan kini boleh didapati di semua bilik pameran Renault di seluruh negara dalam empat pilihan warna dua tona:

  • Warna baru – Merah Flame Red (badan) / hitam (Diamond Black) pada bumbung
  • Oren (Arizona Orange) (badan) / Hitam (Diamond Black) pada bumbung
  • Biru (Pacific Blue) (badan) / putih (Ivory) pada bumbung
  • Putih (Ivory) (badan) / Hitam (Diamond Black) pada bumbung

Sama seperti semua model Renault yang lain , Renault Captur CKD hadir bersama jaminan pengeluar selama lima tahun dan perbatuan tanpa had. Jaminan ini disokong sepenuhnya oleh Renault dan tidak dikendalikan oleh mana-mana syarikat insurans. Maka terma dan syarat serta alat ganti yang dilindungi adalah konsisten dari tahun pertama pemilikan sehinggalah tempoh jaminan tamat.

Maklumat lanjut mengenai Renault di Malaysia, sila layari laman web www.renault.com.my atau www.facebook.com/RenaultMalaysia.

BACA: CARLOS GHOSN – LELAKI AJAIB DI SEBALIK PAKATAN RENAULT NISSAN 

BACA: RENAULT TAWAR EV BERHARGA RM33,700 DI CHINA TIDAK LAMA LAGI

GALERI

Google ads
Back to top button