Buletin

RENAULT DAPATI IMBUHAN CARLOS GHOSN TIADA SALAH PUN, JAWATAN KEKAL

Isu imbuhan Carlos Ghosn memasuki episod baharu apabila beliau sudah didakwa di mahkamah Jepun. Lebih menarik apabila Nissan juga didakwa di mahkamah kerana turut sama bertanggungjawab dalam kes pelaporan imbuhan tidak benar.

Sebelum itu lagi ahli lembaga pengarah (ALP) Nissan dan Mitsubishi masing-masing telah memecat Carlos Ghosn dari jawatannya.

Namun di sebalik dua keputusan tersebut, Renault selaku pemilik pakatan masih mengekalkan jawatan Carlos Ghosn sebagai Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat dari Perancis itu.

Adakah Renault tidak nampak kesalahan atau dakwaan dilakukan oleh Carlos Ghosn?

Ia bukan begitu, Renault mengambil berat tentang dakwaan ke atas Carlos Ghosn dan telah melakukan siasatan sendiri sesuai dengan amalan korporat.

Perkembangan terbaru ialah pada 13 Disember, ALP Groupe Renault yang dipengerusikan oleh Philippe Lagayette, Pengarah Bebas Utama telah bermesyuarat untuk membincangkan perkara ini.

Sebahagian daripada agenda tersebut ialah pembentangan mengenai status semakan imbuhan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Renault dari tahun 2015 hingga 2018 yang dibuat pada 23 November 2018.

Pembentangan kepada ALP Groupe Renault itu dibuat oleh Claude Baland, Penasihat Kanan Etika dan Pematuhan dan Eric Le Grand, Ketua Pegawai Etika dan Pematuhan.

Kesimpulan awal mendapati imbuhan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Renault dan syarat-syarat di mana imbuhan tersebut diluluskan mematuhi undang-undang yang terkait dan juga cadangan oleh AFEP-MEDEF iaitu kod etika tadbir urus untuk syarikat dagangan awam Perancis.

Sebagai tambahan, peguam Renault telah menyediakan laporan kepada ALP Renault mengenai pembentangan yang dibuat kepada mereka oleh peguam Nissan tentang siasatan yang dilakukan syarikat Jepun itu.

Ini bermakna, ALP Renault telah mengambil maklum tentang dakwaan tuduhan salah laku Carlos Ghosn di Nissan.

ALP juga meminta peguam Renault untuk terus menyambung semakan dan penilaian terhadap maklumat yang diberi dengan kehadiran peguam Nissan dan terus melaporkan perkembangan terkini kepada ALP mengenai situasi tersebut.

Selain itu, ALP turut memberi tahu pada peringkat ini mereka tidak mempunyai maklumat tentang pembelaan Carlos Ghosn.

Berdasarkan perkara-perkara ini juga ALP membuat keputusan untuk mengekalkan langkah-langkah tadbir urus yang ditetapkan pada 20 November 2018.

Kesimpulannya ialah Carlos Ghosn tidak melakukan apa-apa kesalahan dan pihak ALP Renault sedar tentang tuduhan salah laku di Nissan dan pada masa berhubung rapat dengan pihak berkepentingan dalam kes ini.

Memandangkan kisah ini begitu hangat dibicarakan secara umum amat penting untuk Carlos Ghosn atau pasukan pembelaannya memberi input daripada pihak mereka tentang apa yang berlaku.

Dari mula kes ini tercetus, Carlos Ghosn dan wakilnya masih belum membuat apa-apa kenyataan.

BACA: MITSUBISHI LANCER BELUM MATI. PAKATAN RENAULT-NISSAN AKAN SELAMATKANNYA

BACA: RENAULT MEGANE R.S 2018 – PENANDA ARAS BARU UNTUK HOT HATCH SEGMEN C 

Google ads
Back to top button