Buletin

ROLLS-ROYCE CULLINAN KALIS PELURU BINAAN KLASSEN – RM8.7 JUTA SEUNIT

Biarpun kurang disenangi oleh peminat tegarnya, Rolls-Royce akhirnya tetap menghasilkan model SUV yang dikenali sebagai Cullinan.

Menjadi SUV paling mewah di dunia, Cullinan dikuasakan oleh enjin V12 turbo berkembar bersesaran 6.75 liter. Mampu menjana sehingga 571PS dan tork 850Nm, kuasa tidak akan menjadi masalah untuk jentara ini.

Cullinan ditawarkan pada harga sekitar AS$325,000 (RM1.35 juta) seunit. Tetapi sebuah firma talaan di Jerman, Klassen kini menawarkan sebuah Cullinan pada harga AS$2.1 juta (RM8.7 juta).

Kenapa banyak sangat bezanya? Ini kerana SUV tersebut telah dipanjangkan dan dipasang dengan ciri-ciri kalis peluru.

Klassen dilapor menambah saiz Cullinan standard itu sebanyak 40 inci. Selain memasang pintu yang lebih panjang, bumbung ditinggikan dan hadir dengan pelbagai pilihan seperti bumbung kaca panoramik.

Bukan itu sahaja, ruang kabinnya kini dilengkapi sistem bunyi premium daripada Bang & Olufsen, dinding pemisaj, lampu ambien LED dan pelbagai fungsi tambahan yang boleh dikawal mengguna iPhone.

Apa yang lebih penting, Klassen menawarkan perlindungan balistik tahap 7 dan 9 demi memastikan aspek keselamatan pemiliknya. Pelanggan yang membuat tempahan akan menerima jentera masing-masing selepas enam bulan.

Selain Cullinan, Klassesn turut melakukan restorasi sama ke atas kereta-kereta mewah yang lain.

Google ads
Back to top button