ROLLS-ROYCE SWEPTAIL – KERETA BARU PALING MAHAL DI MUKA BUMI, RM54.6 JUTA!

SHARE

Pengeluar kenderaan ultra mewah, Rolls-Royce baru-baru ini memperkenalkan model paling mahal keluarannya, Rolls-Royce Sweptail.

Dipertontonkan kepada umum pada acara Concorso d’Eleganza di Villa d’Este, Itali, Sweptail yang hanya dihasilkan sekali sahaja itu dilaporkan berharga AS$12.8 juta (RM54.6 juta)!

Harga itu seolah-olah membuatkan jentera keluaran Koenigsegg, Bugatti atau Pagani kedengaran murah. Ini kerana supercar itu ditawarkan pada harga bawah AS$3 juta (RM12.8 juta).

Penghasilan model coupe itu bermula pada tahun 2013 selepas seorang pelanggan Rolls-Royce inginkan sebuah kereta yang berbeza. Beliau mahukan sebuah Rolls-Royce eksklusif dua pintu  dengan bumbung kaca. Sweptail membuktikan kemampuan Rolls-Royce untuk memenuhi apa jua kehendak pelanggannya yang ultra kaya.

Jentera tersebut diinspirasikan daripada model klasik Rolls-Royce dari tahun 1920-an dan 1930-an. Inspirasi rekaan itu termasuklah daripada model 1925 Phantom I Round Door serta 1934 Phantom II Streamline Saloon. Tidak ketinggalan, model sewaktu zaman kegemilangan Rolls-Royce iaitu 1934 Gurney Nutting Phantom II Two Door Light Saloon dan Park Ward 20/25 Limousine Coupe.

Maka tidak hairanlah jika ia memiliki garis badan yang elegan dan kualiti binaan seperti sebuah kapal persiaran mewah.

Bahagian hadapan mengekalkan DNA rekaan Rolls-Royce dengan gril Pantheon yang diperbuat daripada aluminium solid. Ia menggunakan nombor pendaftaran khas, 08 yang dihasil menggunakan aluminium berkilat.

BACA: ROLLS-ROYCE ELEGANCE INI DICAT DENGAN SERBUK PERMATA

Kemewahan ruang kabin diserlahkan dengan kemasan kayu paling mahal yang menggabungkan citarasa klasik dan kontemporari. Ia kemudian dikontraskan dengan kulit berwarna gelap pada perehat tangan dan papan pemuka.

Pertama kali di dunia, jam pada Sweptail diperbuat daripada venir Macassar paling nipis dan titanium. Rolls-Royce turut menghasilkan satu set bagasi khas untuk jentera ini.

(Visited 8,417 times, 211 visits today)

Share this post

scroll to top