Buletin

SAMBUTAN ULANG TAHUN FERRARI KE-70 BERAKHIR DI PULAU PINANG

Sambutan ulangtahun Ferrari ke 70 di Malaysia baru-baru ini berakhir dengan jamuan gala makan malam besar-besaran di Fort Cornwallis, Georgetown, Pulau Pinang. Seiring dengan sambutan ulangtahun jenama tersebut di seluruh dunia, Naza Italia selaku pengimport dan pengedar berdaftar tunggal Ferrari di Malaysia telah menyusun beberapa acara yang berlangsung pada hujung minggu 22 Julai 2017.

Ia bermula dengan konvoi pelbagai model Ferrari dari ruang pameran Naza Italia Kuala Lumpur menuju ke tapak warisan dunia UNESCO di Pulau Pinang. Memandangkan ia merupakan acara julung kali yang menghimpunkan model-model Ferrari dalam satu perjalanan, ia bukan sahaja memberikan pengalaman baharu buat pemilik tetapi juga menjamu mata masyarakat sewaktu bertembung dengan konvoi supercar Itali ini. Ketibaan mereka disambut oleh peminat-peminat Ferrari yang berkumpul dan persembahan tarian singa. 50 buah Ferrari kemudiannya disusun dengan menarik sepanjang Jalan Kota Lama. Pemilik-pemilik Ferrari kemudiannya dijamu dengan pelbagai sajian tempatan dari gerai-gerai yang disediakan khusus untuk acara ini.

Datuk Wira Haji SM Faisal Tan Sri SM Nasimuddin, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Naza berkata, “Kegemilangan sejarah Pulau Mutiara sebagai tapak warisan dunia yang menjadi kebanggaan masyarakat tempatan dan antarabangsa menjadikannya lokasi yang sesuai untuk berkumpul dan mengimbau kejayaan Ferrari selama 70 tahun.”

“Di sini di tengah Pulau Mutiara, mengingatkan kita tentang sejarah lama dan bagaimana kita maju ke hadapan. Acara sambutan 70 tahun Ferrari yan disambut di seluruh dunia bukan hanya untuk mengimbau kejayaan Ferrrari tetapi juga memberi inspirasi kepada kita untuk melihat bagaimana jenama Ferrari berkembang di masa hadapan,” tambah Datuk Wira Haji SM Faisal.

BACA: FERRARI F40 KINI SUDAH BERUSIA 30 TAHUN

Naza Italia turut mempersembahkan LaFerrari Aperta edisi terhad pada majlis makan malam tersebut. Ia merupakan model khusus yang diperkenalkan sempena ulang tahun Ferrari ke 70. Lokasi yang bersejarah dan eksklusif ini memang cukup sesuai untuk majlis berprestij seperti ini. Para pemilik telah dibawa dengan beca dari hotel penginapan mereka ke lokasi dan disambut dengan gendang tradisi Cina.

Majlis yang dihoskan oleh Datuk Wira Haji SM Faisal turut dirasmikan oleh Y.Bhg Dato’ Maimunah Binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Pulau Pinang dan YB Danny Law Heng Kiang, Exco Pelancongan dan Kebudayaan Pulau Pinang.

Sepanjang acara, tetamu dihiburkan dengan persembahan tarian, nyanyian daripada live band dan kemudiannya oleh DJ terkenal. Beberapa model Ferrari terkenal sebelum ini turut dipamerkan seperti 328 GTB, Ferrari Mondial dan Ferrari 348.

Sebagai memenuhi program tanggungjawab sosial korporat melalui Yayasan Tan Sri SM Nasimuddin, Naza Italia turut menyumbangkan cek bernilai RM105,000 kepada tiga rumah kebajikan di Pulau Pinang – Pusat Jagaan Permata Kasih, St. Josephs’ Home dan The Salvation Army Penang Children’s Home.

Sebagai simbol dan ikon sambutan ulangtahun Ferrari ke 70, LaFerrari Aperta muncul di setiap majlis sambutan di seluruh dunia. Model istimewa ini merupakan edisi terhad versi spider supercar LaFerrari. Ia dikhususkan untuk pelanggan Ferrari paling setia dengan cuma 209 unit dihasilkan. Ia mempunyai semua ciri kehebatan teknologi, prestasi dinamik dan gaya unik yang menjadi lambang kehebatan Ferrari selama tujuh dekad.

Supercar ini juga memberikan keseronokkan pemanduan tanpa bumbung dengan nadi kuasa hibrid yang sama dengan versi coupe. Enjin V12 6,262cc bila digabungkan dengan motor elektrik 120 kW memberikan sejumlah 963 hp untuk memacu Aperta ke hadapan.

BACA: SUPERCAR SUPER LIMITED LAFERRARI DAH SAMPAI MALAYSIA

Sambutan ulangtahun oleh Ferrari Malaysia merupakan satu daripada 60 negara seumpamanya yang diadakan di seluruh dunia. Bukan hanya pemilik tetapi para peminat turut bersama merasai kemeriahan aktiviti yang diadakan khusus oleh pengeluar jenama mewah yang ikonik ini. Perayaan ini menggunakan tema “Driven by Emotion” sangat bersesuaian dengan sejarah penubuhan Ferrari. Sambutan akhir besar-besaran akan diadakan pada 9-10 September di Maranello, Itali.

Gambar daripada Naza Italia

Google ads
Back to top button