BuletinMotosikal

SATU LAGI KEBANGGAAN NEGARA. ADAM NORRODIN-MOTO3 DI TEMPAT KE-5!

Sebelum bermulanya perlumbaan besar kelas MotoGP, peminat di Malaysia dihidangkan dengan aksi menarik dari perlumbaan Moto2 dan Moto3 di mana bagi setiap kelas ini, kita mempunyai wakil masing-masing.

Memang harapan tinggi diletakkan di baju Adam Norrodin kerana atas kertas beliau sahaja yang kelihatan mempunyai peluang cerah untuk menduduki podium.

BACA: HARAPAN KINI DI BAHU ADAM NORRODIN

Dalam pusingan kelayakan semalam , Adam berjaya mencatat kepantasan 1:54.346 sekaligus menempatkannya di petak keempat pada perlumbaan sebenar Moto3.

Sementara itu dua lagi wakil negara yang bersaing dalam kelas Moto2 iaitu Khairul Idham Pawi a.k.a SuperKIP dan Zulfahmi Khairuddin gagal mendapat posisi terbaik ketika ujian kelayakan.

Pada penghujung sesi kualifikasi semalam, SuperKIP mencatat masa terpantas 2:00.166. Pelumba dari Idemitsu Honda Team Asia itu hanya mengisi petak perlumbaan ke-27. Satu lagi wakil negara dalam Moto2 ialah Zulfahmi Khairuddin dari pasukan SIC Racing Team berada di dua petak terakhir di grid 31 sebelum perlumbaan.

BERMULA CEMERLANG

Kedudukan Adam dalam perlumbaan kelas Moto3 ini agak konsisten sejak dari awal perlumbaan. Dengan keadaan litar yang dilimpahi hujan pada awal pagi, Adam memilih untuk kekal menggunakan tayar basah. 

Sebaik pelumba dilepaskan Adam berjaya mengekalkan posisinya di kelompok kedua. Beliau nampak lebih berhati-hati sehingga ke garisan akhir. 

Menamatkan perlumbaan dengan kedudukan ke lima, ia adalah posisi terbaik Adam dalam karier Moto3. Beliau kini berada di tangga ke 8 dalam jumlah pungutan mata keseluruhan, bekalan yang cukup menjelang perlumbaan di Gran Prix MotoGP Amerika nanti.

“Ia memang hujung minggu yang bagus. Kami berada dalam posisi terbaik dan saya berasa sangat yakin. Saya berpuashati dapat berada pada kedudukan ke-5 terbaik dan memberi mata kepada pasukan'” ujar Adam.

BACA: HAFIZH CEMERLANG DI ARGENTINA!

“Sebenarnya, susah  pilih tayar masa nak bermula sebab saya fikir, sekejap lagi trek ni akan kering. Tapi kami buat keputusan untuk guna tayar basah sampai habis dan ternyata, ia tindakan yang bagus. Cuma saya hanya sedikit terkilan sebab tak dapat podium. Memang nak sangat sebenarnya,”

“Pada awal perlumbaan, saya cuba untuk kekalkan momentum untuk berada dalam kelompok pertama. Tapi pada pertengahan perlumbaan, saya rasa dah paksa jentera ni sampai ke tahap maksima. Jadi saya ambil keputusan untuk mengekalkan kedudukan sampai habis perlumbaan. Saya harap dapat kekalkan prestasi ni hingga ke perlumbaan seterusnya,” 

 

 

Google ads
Back to top button