Buletin

SCUDERIA CAMERON GLICKENHAUS SCG 004 S – KERETA PEMANDUAN TENGAH INI SUDAH BOLEH DITEMPAH

Dunia supercar dilihat semakin meriah apabila pembuat kereta bebas, Scuderia Cameron Glickenhaus mendedahkan bahawa ia akan memperkenalkan jentera uniknya tidak lama lagi.

Dikenali sebagai  SCG 004S, supercar tersebut mempunyai stereng yang diletakkan di tengah-tengah. Sekali gus membuatkannya lebih menyerlahkan berbanding mana-mana pesaing yang lain.

Diinspirasikan daripada jentera McLaren F1 yang memiliki tiga tempat duduk, anda boleh boleh lihat dengan jelas papan pemuka yang tampil dengan gayaan klasik. Selain barisan  meter berwarna putih, karekter SCG 004S diserlahkan menerusi tuil gear yang diletakkan di dalam sebuah gated shifter. 

Foto janaan komputer itu juga menunjukkan SCG 004S banyak meneruskan gayaan daripada model 004S, terutama pada bahagian belakangnya. Hujung ekzos diposisikan di bahagian atas berhampiran enjin.

Berat jentera dikurangkan melalui penggunaan material gentian karbon. Prestasinya datang daripada enjin twin turbo V8 yang mampu menjana kuasa sehingga 650hp. Pembeli boleh memilih sama ada transmisi manual atau automatik yang lengkap dengan paddle shifter.

Berbeza dengan 003S yang dibangunkan di Itali hasil kerjasama pihak Manifattura Automobili Torino, 004S pula direka sepenuhnya dan dilapor akan dihasilkan di Amerika Syarikat.

Tempahan 004S kini sudah dibuka dengan Scuderia mengambil deposit sebanyak AS$40,000 (RM165,600).

Dijual pada harga AS$400,000 (RM1.65 juta), hanya 25 unit Founders Edition akan diserahkan kepada pembeli mulai tahun 2019, sebelum pengeluarannya ditingkatkan kepada 250 unit setahun menjelang 2021.

Jika permintaan memberangsangkan, Scuderia akan mengeluarkan model spesifikasi perlumbaan dan diberi nama SCG 004C, dengan C bermaksud “competition”.

Google ads
Back to top button