SELAMAT MENYAMBUT ULANGTAHUN KE 25 – TOYOTA SUPRA JZA80

SHARE

Salah sebuah lagenda kereta Jepun selain Nissan GT-R semestinya ialah Toyota Supra Twin Turbo. Ia memang satu lagenda dan memang layak diberikan status klasik walaupun belum mencecah usia suku abad. Kini pada usia 25 tahun, Supra JZA80 masih diminati ramai dan masih gagal dimiliki oleh ramai peminat termasuk kami sendiri. Pantas betul masa berlalu.  

Menyingkap sejarah awal penciptaannya seawal penghujung era 80-an, Supra A70 ghenerasi ketiga pernah menjadi kereta terpantas dari Jepun tetapi pengeluar lain telah mengeluarkan beberapa produk terbaik mereka untuk mengatasinya. Antara pencabar terdekat ialah Nissan R32 Skyline, Mitsubishi GTO, Mazda RX-7 FD dan Honda NSX. Toyota mula menyedari yang mereka memerlukan pengganti kepada A70 dalam tahun 1989.

Untuk menghadapi cabaran baru ini Toyota memerlukan sebuah enjin yang berkuasa. Ia kemudiannya dipasang pada casis yang bukan sahaja cukup teguh tetapi lebih luas, selesa dan berteknologi tinggi. Ia juga adalah lebih ringan dari model terdahulu sekaligus menjadi model flagship Toyota.

Toyota menggunakan aluminium dengan sangat meluas dalam pembinaan JZA80 ini. bahagian subkerangka, bumbung dan beberapa bahagian gantungan juga dihasilkan daripada aluminium. Karpetnya juga adalah jenis berongga ditengah dengan tujuan yang sama iaitu pengurangan berat. Hasilnya ialah Supra baru hampir menyamai berat Supra A70 terdahulu.

Nadi kepada Supra paling terkenal ini tentulah enjinnya yang cukup dikenali ramai – 2JZ-GTE. Secara rasmi ia menghasilkan 276 hp kuasa berdasarkan Gentleman’s Agreement di Jepun. Tapi untuk pasaran luar, ia menghasilkan 320 hp kuasa hanya dengan melaras kembali beberapa komponen enjin seperti penyuntik bahan api dan pengecas turbo. Untuk perbandingan, Ferrari 348 hanya mempunyai 312 hp kuasa.

Enjin 2JZ ini merupakan buah tangan terbaik Toyota yang bukan hanya berkuasa tetapi mempunyai potensi yang sangat besar. Blok enjinnya adalah cukup kuat dan tidak mempunyai sebarang masalah untuk menampung kenaikan kuasa sehingga 800 hp dalam keadaan standard. Malah Titan Motorsports pernah menala enjin ini sehingga 3,000 hp (diubahsuai sepenuhnya).

BACA: IMEJ PALING JELAS SETAKAT INI. TOYOTA SUPRA BAHARU

Ia juga turut dilengkapi dengan pengecas turbo generasi baru sequential yang berbeza dari A70 asal. Turbin kecil akan berputar pada RPM rendah dan Turbin besar akan mula berputar pada RPM tinggi. Keduanya akan menghantar boost penuh serentak sekaligus memberikan pecutan yang setanding dengan supercar sebenar. Ia sebenarnya satu tetapan yang agak sukar menyebabkan ramai yang menggunakan turbo kit dengan turbin tunggal untuk modifikasi.

Enjin 2JZ ini boleh dipadankan dengan kotak gear auto 4-kelajuan A340E dan manual 5-kelajuan W58 untuk versi NA. Tapi untuk model idaman yang menggunakan enjin twin-turbo ia dilengkapkan dengan kotak gear manual Getrag V160 6-kelajuan. Ia adalah lebih ‘ganas’ dan hampir menyamai kotak gear V160 yang digunakan oleh Nissan Skyline GT-R R34. Ia juga cukup lasak dan mampu menahan kuasa sehingga 1,000 hp.

Kesemua hasil kejuruteraan canggih ini kemudian ‘dibalut’ dengan panel-panel badan yang cukup sporty dan bergaya. Jika GT-R memilih penampilan berotot dan sado, Supra baru ini kelihatan lebih lembut tetapi pada masa yang sama boleh menjadi lebih garang dengan bodykit aftermarket seperti yang anda saksikan dalam filem The Fast and The Furious. Rekaan asal kereta ini cukup ringkas tanpa bukaan ataupun ruang skup pada bahagian bonet hadapan. Siapa sangka ia sebenarnya seekor serigala yang memakai jaket bulu biri-biri.

Dengan rekaan yang serba canggih dan potensi yang tinggi, Supra mula menjadi pilihan para tuner di seluruh dunia. Pada tahun 1997, sebuah Supra yang diubah suai telah memecahkan rekod sepusingan Nurburgring. Ia merupakan sebuah projek usahasama syarikat Blitz dari Jepun dan Racelogic dari Britain. Ia berjaya mencatatkan rekod 7:49.40 sekaligus mengalahkan Porsche Gemballa yang memegang rekod tersebut sejak 1995.

Di negara asalnya Supra turut cemerlang dalam perlumbaan JGTC dari tahun 1996-2000. Walaupun dalam perlumbaan ini mereka memilih untuk menggunakan enjin 3S sebaris-empat mereka masih mampu menggugat lawan dengan kemenangan pada tahun 1997, 2001, 2002 dan 2005.

Supra JZA80 memang merupakan lambang kehebatan Toyota yang tiada tandingan pada masa itu. Mana hilangnya kehebatan tu sekarang? Harap-harap Supra baru boleh mengembalikan reputasi mereka dalam arena pengeluar kereta sports. Boleh ke?

GALERI:

Kredit Japanesenostalgiccars.com

Share this post

scroll to top