Buletin

SELAMAT TINGGAL PROTON R3, TERIMA KASIH DARI KAMI RAKYAT MALAYSIA

Sejak semalam kami telah mendengar desas-desus berita penutupan operasi R3, Divisyen sukan motor dan penala bagi syarikat Proton Holdings Bhd. Pagi ini, disahkan dari beberapa sumber bahawa R3 akan menamatkan operasi sepenuhnya pada hujung Mei ini.

Bagi penggiat sukan motor, R3 atau nama penuhnya Race, Rally Research merupakan divisyen yang telah mengubah persepsi golongan muda terhadap Proton. Mungkin dari segi jualan, R3 tidak membawa laba besar kepada Proton namun dari segi imej, R3 boleh dikatakan sangat berjaya untuk sebuah syarikat kecil dari pembuat kereta kecil di benua Asia Tenggara.

Di awal penubuhannya, mereka giat melakukan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) terhadap model-model Proton. Namun pertukaran pengurusan demi pengurusan menyebabkan divisyen ini semakin terpinggir. Jika anda biasa ke Kilang proton di Shah Alam, R3 tidak sama dengan R3 yang kami lihat 10 tahun lepas. Skala perniagaan mereka lebih tertumpu kepada pembangunan sukan motor sahaja.

BACA: PROTON TAKKAN HENTIKAN PEKERJA

Sumber kami memberitahu, akses terhadap model baru dan pembangunan aftermarket untuk model baru Proton juga tidak melibatkan R3.

Namun di zaman kegemilangannya, R3 telah melahirkan beberapa model dan juga peralatan aftermarket seperti sistem suspensi, kit badan dan juga model skala penuh yang ditala seperti Proton Satria, Proton Satria Neo dan palng ikonik tentulah Proton Satria Neo R3 Lotus Racing.

Satria Neo berwarna hijau British dengan garis badan kuning itu adalah model terhad yang masih berharga tinggi pada hari ini.

Bukan sahaja dalam arena tempatan, R3 juga telah melonjakkan nama di persada antarabangsa seperti sukan Rali Asia Pasifik (APRC) dan IRC. Perlumbaan tempatan seperti MSS dan perlumbaan seperti 1000km endurance. Mereka juga turut menyediakan perkhidmatan dan konsultansi kepada pasukan perlumbaan persendirian.

Beberapa tahun lepas R3 menjadi orang tengah membawa Satria Neo untuk dipertandingkan dalam rali Jepun. Kereta ini ditala oleh Cusco, salah sebuah penala paling berprestij di Jepun dan saya masih ingat ketika berada di pameran Tokyo Auto Salon, kereta ini dipamerkan dan “berdiri sama tinggi” dengan tuner Jepun yang lain. Ia adalah pameran aftermarket paling berprestij di dunia.

Mereka juga ada perekabentuk dalam sendiri yang dikenali sebagai Proreka. Seperti yang kami maklumkan tadi, pada peringkat awal, mereka bekerjasama rapat dengan Proton namun beberapa tahun kebelakangan ini ia semakin krik..krik..krik…

Apapun, kami di mekanika mendoakan yang terbaik buat seluruh pasukan ini dan kami juga berharap agar mereka dapat diserapkan ke dalam Proton supaya tenaga kerja dan idea yang ada dapat dikongsi bersama.

Berita selanjutnya akan kami kemaskini dari masa ke semasa…

KEMASKINI 

Kami berjaya menghubungi Tg Djan Ley dan penutupan R3 bukan disebabkan kerjasama baru Proton-Geely. Ia sudah dirancang lama dan ikuti komen beliau di pautan di bawah;

R3 DITUTUP KERANA KEKANGAN BAJET, BUKAN SEBAB GEELY

 

Google ads
Back to top button