SELEPAS 5 TAHUN, KLIMS 2018 KEMBALI PADA NOVEMBER DEPAN

SHARE

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) hari ini mengumumkan bahawa Pameran Kenderaan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) bakal berlangsung dari 23 November hingga 2 Disember 2018 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Pengumuman pelancaran tersebut dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Sri Mustapa Bin Mohamed. Beliau turut menyaksikan majlis tandatangan antara Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad  dan Pengerusi Trade-Link Exhibition Services Sdn Bhd, Datuk Zainal Abidin Ahmad sebagai pengurus pameran KLIMS 2018.

Dengan tema “Beyond Mobility”, KLIMS 2018 merupakan siri kesembilan, kembali setelah terhenti selama lima tahun.

KLIMS 2018 kini bersedia untuk memacu industri automotif Malaysia, menarik minat orang ramai dengan pelancaran beraneka model baru dan kereta konsep yang mengujakan.

MAA menjangkakan acara selama 10 hari itu dapat menarik lebih 350,000 orang pengunjung. 

“Dengan peningkatan kos sara hidup dan kos menjalankan perniagaan, sektor automotif tempatan dijangka menghadapi satu lagi tahun yang mencabar. Justeru,

MAA dan syarikat-syarikat kereta berpendapat tahun 2018 adalah masa yang sesuai untuk mengadakan pameran kereta,” kata Aishah.  

Kembalinya KLIMS pada tahun 2018 juga didorong oleh siapnya pusat pameran yang terbesar dan terkini di Malaysia iaitu MITEC. MAA yakin tapak baru bagi KLIMS akan memberikan pengalaman baru kepada para pempamer dan pengunjung.

MAA menggesa pemain industri automotif untuk menggunakan KLIMS 2018 sebagai peluang untuk mengukuhkan kedudukan mereka di pasaran. Daihatsu, Ford, Honda, Hyundai, Infiniti, Isuzu, Kawasaki, Kia, Lexus, Mitsubishi, Nissan, Peugeot, Perodua, Proton, Toyota, UD, V-Kool, 3M adalah antara yang terawal mengesahkan ruang pameran mereka.

KLIMS 2018 menawarkan ruang pameran seluas lebih 50,000 meter persegi dan disertai oleh lebih 100 pempamer.

Untuk maklumat lanjut mengenai KLIMS 2018, sila layari laman web www.klims.com.my, atau hubungi Trade-Link Exhibition Services Sdn Bhd di Tel:+603-7842 9863 dan e-mel info@trade-link-group.com

Share this post

scroll to top