BuletinMotosikal

SELEPAS KEJAYAAN PODIUM SUZUKA, AZLAN JANJIKAN SAINGAN SENGIT DI SENTUL

Pencapaian mencatat nama sebagai pelumba Malaysia pertama yang menjejakkan kaki di pentas podium Kejuaraan Endurance Dunia Suzuka 8-Hour menjadi tonik terbaik untuk Azlan Shah Kamaruzaman menghadapi saingan SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Sentul, Indonesia, 12 dan 13 Ogos.

Dalam saingan tersebut, Azlan yang bergandingan bersama Leon Haslam dan pelumba Jepun, Kazuma Watanabe, muncul naib juara di belakang pasukan Yamaha Factory Racing.

“Banyak yang saya pelajari dalam perlumbaan tersebut memandangkan ini kali pertama saya bergandingan bersama pelumba yang jauh lebih berpengalaman. Apa yang dipelajari sewaktu perlumbaan itu boleh digunakan untuk memantapkan lagi teknik saya,” jelas pelumba Manual Tech KYT Kawasaki Racing itu.

BACA: KASMA BERAKSI DENGAN TIKET WILDCARD

Selepas tiga pusingan, Azlan kini mendahului kedudukan keseluruhan SuperSports 600cc dengan mengumpul 102 mata, 20 mata mengatasi Yuki Ito yang berada di kedudukan kedua manakala seorang lagi pelumba negara, Mohd Zaqhwan Zaidi di kedudukan ketiga dengan 80 mata.

Bercakap tentang aksi di Litar Sentul, Azlan berkata, “Saya tidak beraksi di litar ini pada tahun lepas akibat kecederaan. Saya tidak begitu pasti tentang keadaan litar, cuma kami ada menjalani latihan di litar ini sebelum perlumbaan musim 2017 bermula. Perkongsian maklumat dan data bersama rakan sepasukan dari Indonesia, Ahmad Yudhistira mungkin dapat memberi kelebihan untuk saya menaiki podium dan mengekalkan kedudukan pendahulu.”

Google ads
Back to top button