SELEPAS TEKSI LONDON, SUBSIDIARI GEELY INI BUAT VAN KOMERSIL PULA

SHARE

Sebelum ini kami sudah beberapa kali menyiarkan tentang sebuah subsidiari Geely yang kerjanya ialah mengeluarkan teksi hitam London.

Subsidiari tersebut dikenali sebagai London EV Company (LEVC) atau nama asalnya London Taxi Company. Sebenarnya tiada apa yang pelik tentang produk syarikat ini kerana sejak berpuluh tahun dulu lagi kerjanya ialah mengeluarkan teksi hitam untuk kota London dan ibu kota negara lain.

Cuma apa yang menarik ialah Zhejiang Geely Holding Group adalah pemilik kepada syarikat ini dan seperti diketahui turut memiliki Volvo Cars, Proton dan Lotus.

Geely telah melabur sejumlah wang yang besar bagi menghidupkan kembali syarikat ini dan hasilnya ialah teksi London serba baharu dengan teknologi elektrik.

Satu lagi perkara menarik ialah apabila menjenguk ke dalam teksi hitam baharu ini anda bakal dapati kuatnya pengaruh Volvo.

Ini lah kehebatan Geely dalam menuju ke arah pengeluar automotif global terkemuka.

Teksi LEVC

Selepas berjaya mengeluarkan teksi elektrik, nampaknya LEVC sedang meneroka segmen baharu pula iaitu van komersil elektrik. Bukan setakat perancangan atas kertas malah LEVC mengumumkan program percubaan dengan pelanggan berpotensi pada separuh tahun kedua 2019.

Di antara pihak yang terlibat dalam perbincangan untuk penggunaan kenderaan prototaip ialah Perkhidmatan Polis Metropolitan dan Briged Bomba London. Kedua-dua jabatan ini mempunyai sasaran untuk menggunakan van bebas emisi bermula tahun 2025.

Walaupun disebut-sebut sebagai teksi elektrik atau van elektrik, kedua-dua kenderaan ini sebenarnya menggunakan enjin range extender kuasa petrol dan bukan digerakkan oleh tenaga elektrik sepenuhnya.

LEVC Taxi Trial

Teksi LEVC

Buat masa sekarang, ini adalah pilihan yang praktikal memandangkan kemudahan untuk mengecas belum lagi meluas.

Walaupun begitu menurut LEVC nadi kuasa seperti ini masih menjimatkan dengan kos pemilikan yang rendah.

LEVC menjangkakan van komersil ini mampu untuk bergerak lebih daripada 160 km sehari. Segmen ini sekarang didominasi oleh van satu tan bersaiz sederhana yang digerakkan oleh enjin diesel.

Teksi LEVC

Memandangkan LEVC berada di bawah naungan Geely, van ini juga bakal dilengkapi dengan beberapa teknologi separa autonomi dan memenuhi standard ujian pelanggaran dunia.

Tahniah Geely dan Li Shufu, konglomerat anda suatu hari nanti bakal menguasai industri automotif dunia.

BACA: TEKSI LONDON TERUS MAJU KE DEPAN – PEMILIKNYA ADA KAITAN DENGAN PROTON

BACA: GEELY BELI SAHAM VOLVO TRUCKS RM13.4 BILION

Share this post

scroll to top