SENARAI KERETA KONSEP TERBAIK SEPANJANG 2016

cover-concept-konsep.jpg
SHARE

Sejak kereta konsep diperkenalkan oleh kebanyakan pengeluar kereta, ia mula menjadi sesuatu yang dinantikan oleh peminat automotif untuk mendapat gambaran tentang kenderaan-kenderaan yang bakal dihasilkan.

Walaupun kadang-kadang kereta konsep cumalah satu bentuk latihan untuk para pereka ataupun sekadar untuk tontonan di pameran-pameran automotif, kereta konsep akan membuatkan kita terpaku dan berfikir tentangnya ataupun tentang perancangan pengeluar seterusnya.

BACA – MODEL PIKAP KONSEP PROTON

BACA – PERODUA BUDDYZ KONSEP

Sempena menutup tirai tahun 2016, kami kumpulkan khusus untuk anda 9 kereta konsep terbaik yang dipamerkan sepanjang tahun ini.

1. JAGUAR I-PACE

1-jaguar-i-pace-1

Jaguat I-Pace membuktikan yang pada masa hadapan di mana kereta elektrik akan menjadi sebahagian daripada gaya hidup kita, kereta-kereta yang dihasilkan tidak akan kelihatan pelik.

Sekurang-kurangnya Jaguar membuktikan yang kita tetap boleh bergaya dengan kereta elektrik konsep mereka. Mungkin ia tidak kelihatan begitu futuristik seperti model-model konsep yang lain tetapi falsafah pembuatan Jaguar yang bergaya diadun dengan elemen futuristik khususnya kuasa elektrik untuk menarik minat pembeli memilikinya.

1-jaguar-i-pace-konsep

Apatah lagi bila ia mampu membuat pecutan 0-100 km/j hanya dalam masa 4 saat dan memiliki jarak maksima operasi sejauh 350 kilometer sudah lebih dari mencukupi untuk kegunaan kita seharian di masa hadapan.

2. JEEP WRANGLER TRAILCAT

2-jeep-wrangler-trailcat-2

Tarikan utama Jeep Wrangler Trailcat ini semestinya ialah enjin Hellcat V8 yang berkemampuan menghasilkan 707 hp kuasa maksima yang disumbat ke dalam ruang enjin Wrangler ini.

Ini merupakan kejutan biasa yang diberikan Jeep untuk kita semua saban tahun dengan model Jeep Safari Concept mereka. Kerangka asal telah dibesarkan lagi bagi memuatkan enjin yang bersaiz mega itu dan dipadankan dengan kotak gear manual.

2-jeep-wrangler-trailcat-1

Bahagian dalamannya juga telah diubahsuai dengan penambahan aksesori tambahan tetapi yang paling penting sekali ialah bunyi yang dihasilkan daripada enjin V8 dan deruman ekzosnya yang cukup bertenaga.

3. BMW 2002 HOMMAGE

3-bmw-hommage-1

Hommage merupakan model konsep BMW yang merupakan penjelmaan semula kereta klasik mereka suatu ketika dulu.

BMW 2002 merupakan model yang paling penting dalam sejarah 100 tahun BMW. 2002 Hommage ini diasaskan daripada model 2002 Turbo, sebuah model pertama yang dikeluarkan dengan enjin berkuasa turbo, 50 tahun dahulu di Eropah.

3-bmw-hommage-2

Rekaannya jelas menggambarkan ciri-ciri retro-futuristik. Ia tidak kelihatan aerodinamik tetapi rekaan badan hadapan, sisi dan belakang membantu mengurangkan rintangan angin menerusi liang-liang udara yang ada pada bumper hadapan dan bahagian sisi badan kereta.

4. VISION MERCEDES-MAYBACH 6

4-mercedes-maybach-vision

Dengan panjang keseluruhan 18 kaki, Maybach coupe concept ini memang sesuai dinobatkan sebagai kereta konsep paling panjang pada tahun ini. Sangat panjang sebenarnya untuk sebuah kereta yang cuma mempunyai dua tempat duduk.

Satu pertiga panjangnya terletak di bahagian bonet hadapan diikuti pintu gull-wing dan but belakang ala motorbot. Ia mempunyai cermin hadapan lengkap dengan paparan pelbagai info ala filem fiksyen sains dan motor elektrik yang mampu menghasilkan 738 hp kuasa maksima.

4-mercedes-vision-2

Tempat duduknya juga mempunyai sensor yang mampu mengesan pakaian yang anda pakai (ataupun tak pakai) dan seterusnya memberikan tetapan yang bersesuaian.

5. BUICK AVISTA

5-buick-avista-2

Setahun dua ni Buick memang suka mengujakan peminat automotif dengan model-model konsep mereka. Tahun lepas mereka memperkenalkan model konsep Avenir dan tahun ini dengan Avista.

Ia merupakan sebuah coupe mewah yang diasaskan daripada model Camaro dan merupakan jelmaan model terdahulu Buick yang sudah lama menyepi.

5-buick-avista-1

Avista merupakan gabungan rekaan Avenir dan dipadankan dengan model LaCrosse. Harap-harap ia bukan hanya sekadar konsep kerana ini ialah antara kereta konsep yang kami rasa paling cantik sepanjang tahun 2016.

6. MERCEDES-BENZ SPRINTER EXTREME

6-mercedes-benz-sprinter-extreme

Inilah dia sebuah model konsep paling huru-hara. Macam kereta berhias syarikat kuari pun boleh jadi juga. Sekali lihat ia seperti kenderaan taman tema Jurassic Park yang ditaja oleh Mountain Dew. Gila kelam kabut punya design.

Kemasan lumpur tiruan di bahagian sisi memang nampak real. Begitu juga dengan batu-batu tiruan di bahagian belakangnya. Ia dilengkapi dengan enam lampu kabus di bahagian hadapan rak bumbung, tayar off-road, winch dan ekzos krom.

6-mercedes-benz-sprinter-extreme-2

Suspensinya juga telah ditinggikan untuk menaikkan kelegaan bumi. Nampak macam kartun pun ada tapi rasanya OK juga ni kalau nak digunakan masa banjir kan?

7. GENESIS NEW YORK

7-genesis-new-york-1

Model konsep keluaran Genesis (cabang mewah Hyundai) ini mempunyai nama yang cukup kelakar. New York? Mungkin sewaktu mereka menyiapkan model ini mereka belum menemui nama yang sesuai jadi memandangkan mereka mula memperkenalkan model ini di New York jadilah nama New York (agaknyalah).

Genesis New York ialah sebuah kereta bersaiz BMW 3-siri mengetengahkan beberapa rekaan baru antaranya ialah rekaan bahagian bukaan tingkap yang unik. Gril hadapannya juga lebih menonjol berbanding G80 dan G90 (Hyundai memang perlu belajar dalam menamakan model-model mereka).

7-genesis-new-york

Apapun ia sebuah kereta konsep yang cantik dan diharapkan ia juga akan dikeluarkan di masa hadapan. Tiba-tiba kami rasa Proton atau Perodua kena buat model konsep dengan nama Proton Mentakab atau Perodua Kinabatangan (dan dirasmikan nanti oleh YB Bung Mokhtar)

8. TOYOTA SETSUNA

8-toyota-setsuna-1

Tarikan utama semestinya bahagian badannya yang dihasilkan daripada kayu (campuran cedar, birch dan zelkova).

Idea di sebalik Setsuna ialah agar ia mampu bertahan sehingga 100 tahun, seperti warisan keluarga yang diturunkan dari generasi ke generasi. Ia ditunjukkan oleh “meter 100-tahun” yang ada pada papan pemuka kereta ini.

Setsuna akan mengira setiap hari dan tahun sepanjang usia kereta ini. Kayu dipilih kerana ciri-cirinya yang unik dalam pembuatan perabut. Setsuna ini lebih ke arah perabut sebenarnya.

8-toyota-setsuna

Teknik penyambungan tukang-tukang perabut Jepun digunakan sepenuhnya dalam penghasilannya membuatkan tidak ada sebatang paku mahupun skru yang diperlukan.

Keseluruhan bahagian luar badan boleh ditanggalkan dan diganti lain. Unik dan berlainan, ia memang sebuah kereta konsep yang pelik.

9. RENAULT TREZOR

9-renault-trezor-1

Kereta-kereta keluaran Perancis memang diakui cukup cantik dan Renault Trezor Concept ini adalah salah satu di antaranya.

Ia merupakan sebuah grand tourer berkuasa elektrik sepenuhnya yang diperkenalkan di Paris Motor Show. Sama seperti model konsep lain, ia akan memberikan gambaran hala tuju Renault selepas ini dan mungkin juga tempiasnya akan turut diikuti Nissan sebagai rakan sekutunya.

9-renault-trezor

Ciri paling menarik pada Renault ini ialah bukaan bumbung ala kanopi untuk memudahkan pemandu dan penumpang keluar masuk. Sama seperti kanopi pesawat pejuang tetapi dengan saiz yang lebih besar. Dalamannya yang serba merah nampak lebih elegan.

BACA – CITROEN CACTUS & AIRCROSS CONCEPT

BACA – MAZDA RX VISION, IMPIAN MASA HADAPAN

 

Share this post