Buletin

SENARAI KERETA PALING SELAMAT TAHUN 2017

Banyak faktor yang harus kita pertimbangkan sebelum membeli sebuah kereta baharu seperti harga, tahap ekonomi bahan api, jumlah tempat duduk, luas ruang kargo dan macam-macam lagi.

Tetapi satu perkara yang selalu dilupakan ialah tahap keselamatan sesebuah kenderaan yang menrupakan salah satu ciri penting yang mesti diberi penekanan. Tidak dinafikan yang sebuah kereta dengan ciri keselamatan terbaik adalah agak mahal tetapi bukankah semua benda yang baik mesti ada harganya.

Untuk menilai sendiri tahap keselamatan sebuah kereta baharu rasanya agak sukar tetapi mujurlah organisasi Euro NCAP (European New Car Assessment Program) telah melakukan tugasnya. Kita tak perlu uji kereta-kereta baru tersebut, mereka akan lakukannya untuk kita.

BACA: CR-V DAPAT 5 BINTANG DALAM ASEAN NCAP

Euro NCAP ditubuhkan pada tahun 1997 dan bertanggungjawab memberikan markah ataupun tahap keselamatan berdasarkan ujian kepada semua kereta yang akan dipasarkan di Eropah.

Tahap keselamatan dilabelkan menggunakan penarafan bintang. Satu bintang untuk tahap paling rendah dan lima bintang untuk tahap keselamatan tertinggi.

BAGAIMANA MEREKA MENGUJI SEMUA KERETA INI?

Ujian yang diadakan sebenarnya menyeluruh dan cukup sofistikated. Walaupun mereka dilihat menggunakan patung berbentuk manusia sewaktu ujian perlanggaran, semua patung ini dilengkapi dengan pelbagai sensor untuk menguji impak sewaktu perlanggaran.

Ujian perlanggaran juga mengambil kira hentaman dari hadapan dan juga sisi. Ia akan menentukan tahap keselamatan keseluruhan kereta dengan mengambil kira keberkesanan tali pinggang keledar, beg udara dan juga kekuatan cesi kenderaan itu sendiri. Ciri dan saiz penumpang juga diberi perhatian sama ada kanak-kanak ataupun orang dewasa.

BACA: KERETA DENGAN LAMPU PALING CANTIK

Selain daripada keselamatan penumpang kenderaan, keselamatan pejalan kaki turut diberi perhatian jika terlibat dengan kemalangan dengan kenderaan yang diuji. Ini merupakan salah satu faktor penyebab penggunaan lampu pop-up diharamkan penggunannya.

Kini elemen penilaian keselamatan telah dinaiktaraf dengan pengenalan kategori ujian yang dinamakan “safety assist”, khusus untuk peralatan seperti brek automatik dengan sensor yang mengesan jarak kenderaan di hadapan dan lane-keeping assist yang membantu kita berada dalam lorong yang betul sewaktu memandu.

Peralatan ini tidak berguna sewaktu perlanggaran tetapi menbantu mencegah kemalangan dari berlaku. Teknologi ini juga membuatkan kenderaan tanpa ciri-ciri ini gagal memperolehi tahap keselamatan lima bintang.

Kesemua ujian ini akan menyukarkan pihak pengeluar tetapi cukup menguntungkan bakal pembeli kerana ia memudahkan mereka membuat perbandingan. Mustahil untuk sebuah kereta digelar peneraju sesuatu segmen tanpa pengiktirafan daripada Euro NCAP.

Berikut adalah antara kereta yang telah diuji dan menjadi kayu pengukur terbaru tahap keselamatan sebuah kenderaan. Inilah senarai kereta paling selamat untuk pasaran 2017 berdasarkan kategori masing-masing.

  • Supermini paling selamat : HONDA JAZZ
  • Kereta keluarga kecil paling selamat : HYUNDAI IONIQ
  • Kereta keluarga besar paling selamat : TOYOTA PRIUS
  • MPV kecil paling selamat : VOLKSWAGEN TOURAN
  • MPV besar paling selamat : FORD GALAXY (SAUDARA S-MAX)
  • Roadster/Convertible paling selamat : MAZDA MX-5
  • SUV kecil paling selamat : VOLKSWAGEN TIGUAN
  • SUV besar paling selamat : VOLVO XC90

Berdasarkan senarai di atas, bukannya sesuatu yang pelik bila Volvo XC90 ditabalkan sebagai kenderaan paling selamat yang telah diuji oleh Euro NCAP kali ini. Ia telah diuji pada tahun 2015 dan masih mengekalkan kehebatannya sekali lagi pada tahun 2016 sekaligus membuktikan komitmen Volvo dalam menghasilkan kenderaan yang paling selamat.

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button