SETIA PANDU BEETLE SELAMA 51 TAHUN, VOLKSWAGEN AMERIKA BANTU RESTORASI BEETLE MILIK SEORANG NENEK

SHARE

Kathleen Brooks membeli Volkswagen Beetle pertamanya pada Disember 1966 di Riverside, California.

Model tahun 1967 berwarna merah itu kemudian diberi nama Annie. Sejak itu, Annie menjadi pengangkutan harian Kathleen. Dalam tempoh lebih 51 tahun, ia telah mencatat perjalanan sejauh 563,270km.

Mitsubishi YE-Triton-Mrec-Mobile

Kini dalam usia 73 tahun, Kathleen masih memandu Annie ke tempat kerja.

Selepas mendengar kisah Kathleen itu, Volkswagen of America menjalankan misi untuk merestorasi Annie di kilang Beetle di Puebla, Mexico.

Selama 11 bulan, sepasukan 60 orang kakitangan dan pelatih Volkswagen berusaha siang malam merestorasi Annie agar kembali menjadi seperti sebuah kereta binaan kilang yang asal. Ia turut menerima sentuhan kustom untuk disesuaikan dengan keperluan Kathleen.

Baru-baru ini, Kathleen dan Annie disatukan kembali sambil disaksikan oleh pasukan restorasi Volkswagen.

“Kita sering mendengar tentang pemilik kenderaan Volkswagen, tetapi hubungan Kathleen dan Annie sangat istimewa.

“Beetle memulakan perniagaan kami di Amerika Syarikat. Ini bukan Beetle biasa, tetapi ahli keluarga Kathleen,” kata Naib Presiden, Jualan dan Pemasaran Volkswagen of America, Derrick Hatami.

Kathleen berkerja dengan pesakit kanser dengan menyediakan perkhidmatan penjagaan dan kosmetik kepada mereka. Pernah menghidap kanser sebanyak tiga kali, Kathleen mengakui Annie sering menjadi pembuka bicara di antara dia dengan peminat dan pemilik Beetle yang lain.

“Saya selalu kata Annie macam saya. Dia sudah tua, warna pudar, berkarat dan kemik. Tetapi masih boleh berjalan, selagi saya menjaganya,” kata Kathleen sambil ketawa.

Walaupun Kathleen menjaga Annie sebaik mungkin, Beetle itu masih perlu dibaiki. Antaranya ialah lantai yang berkarat teruk, suspensi, transmisi dan masalah pendawaian.

Jadi, hampir 40 peratus alat ganti Annie ditukar. Untuk menggantikan warna merah yang semakin pudar itu, pasukan restorasi menggunakan warna asal. Bukan itu sahaja, sejumlah alat ganti ditukar dengan komponen lebih baik seperti brek cakera, serta sistem audio baharu tetapi memiliki rekaan klasik.

Pendawaian turut ditukar baru sepenuhnya. Transmisi dibina semula dan suspensi dinaik taraf. Enjin pula dibuka, dicuci dan dipertingkatkan. Lebih menarik lagi, tempat duduk kulit itu disulam engan nama Kathleen dan Annie.

Menurut Pengurus Projek dan Jurutera Mekatronik, Augusto Zamudio, pasukannya bukanlah hendak menghasilkan sebuah Beetle dengan kualiti muzium. Tetapi mahu mengembalikan keadaan sedia kala Annie dan membolehkan Kathleen terus memandu untuk beberapa tahun akan datang.

GALERI

Share this post

scroll to top