ŠKODA, KURANG DIKENALI DI MALAYSIA TETAPI JUALAN 7 ANGKA!

Skoda Fabia R5

SHARE

Pada satu ketika pengeluar kereta ŠKODA pernah memasarkan model mereka di dalam negara. Walaupun jenama ini begitu asing, ia tidak menghalang pengguna tempatan daripada memiliki model popular seperti FABIA dan OCTAVIA.

Pengeluar dari Republik Czech ini dilihat sebagai alternatif yang baik kepada Volkswagen malah model yang dipasarkan di dalam negara masih berkeadaan elok.

ŠKODA merupakan subsidiari Kumpulan Volkswagen sejak dari 1991 lagi dan di antara syarikat kenderaan paling lama beroperasi. ŠKODA ditubuhkan pada tahun 1895 dan hanya beberapa jenama automotif sahaja yang masih wujud hingga kini.

ŠKODA OCTAVIA

Berada dalam Kumpulan VW adalah satu kebijaksanaan buat ŠKODA apabila ia tetap berjaya. Pada tahun 2017 lebih dari 1.2 juta unit terjual di serata dunia.

Walaupun berada dalam Kumpulan VW, ŠKODA tetap membangunkan dan mengilangkan kenderaan termasuk komponen seperti enjin dan transmisi.

ŠKODA beroperasi di tiga lokasi di Republik Czech dan mengeluarkan kereta di China, Rusia, Slovakia, Algeria dan India yang mana dibuat melalui kerjasama dengan Kumpulan VW. ŠKODA juga mempunyai rakan tempatan di Ukraine dan Kazakhstan.

ŠKODA RAPID

Berapakah tenaga kerja ŠKODA? 35,000 di serata dunia dan aktif menjual di lebih 100 pasaran global.

Model keluaran ŠKODA pula sedang elok dengan lapan jenis kereta dan SUV iaitu CITIGO, FABIA, RAPID, OCTAVIA, KAROQ, KODIAQ, KAMIQ (China) dan SUPERB.

Berapakah pula jualan pada tahun 2018? 1,253,700 unit dengan peningkatan 4.4 peratus berbanding tahun 2017. Ini adalah peningkatan tahun kelima berturut-turut.

ŠKODA FABIA

Pasaran terbesar ŠKODA ialah di Eropah yang mencatat jualan sebanyak 826,000 unit, meningkat 4.9 peratus dan menariknya pasaran kedua terbesar ialah di China dengan jualan 341,000 unit, meningkat 4.9 peratus.

VW adalah jenama terlaris di China dan ia turut memberi pengaruh kepada ŠKODA.

Satu perkara menarik ialah jualan ŠKODA di negara asalnya biasa sahaja iaitu sebanyak 93,600 unit (10.6 juta penduduk). Jualan terbesar di Eropah ialah di Jerman sebanyak 176,600 unit (82.8 juta penduduk) menjadikannya pasaran kedua terbesar selepas China.

ŠKODA KODIAQ vRS

Satu lagi pasaran yang gemarkan kenderaan ŠKODA ialah Rusia dengan jualan sebanyak 81,500 unit (146.8 juta penduduk).

Di India, ŠKODA masih lagi cuba mendapatkan keyakinan pengguna dengan jualan sebanyak 17,200 unit.

Berikut ialah jualan ŠKODA mengikut model pada tahun 2018 dan perbezaan pada tahun 2017:

  • ŠKODA Octavia (388,200; -7.3 %)
  • ŠKODA Rapid (191,500; -9.5 %)
  • ŠKODA Fabia (190,900; -7.6 %)
  • ŠKODA Kodiaq (149,200; +49.3 %)
  • ŠKODA Superb (138,100; -8.5 %)
  • ŠKODA Yeti (13,100; -81.2 %)
  • ŠKODA Karoq (115,700; -)
  • ŠKODA Kamiq (hanya dijual di China: 27,900; -)
  • ŠKODA Citigo (hanya dijual di Eropah: 39,200; +5.5 %)

ŠKODA SUPERB

Apa yang hendak disampaikan di sini ialah, Proton yang kini merupakan sebahagian daripada Kumpulan Automotif Geely boleh menjadikan ŠKODA sebagai model untuk dirujuk.

ŠKODA tidak kurang identiti sebagai kereta Republik Czech, berada dalam kumpulan automotif gergasi dan tetap berjaya menjual lebih jutaan unit kenderaan setiap tahun! Menariknya, ŠKODA tetap tampil dengan identiti sendiri.

Begitu banyak yang boleh dipelajari dari model bisnes ŠKODA sebenarnya. Bukan sahaja Proton malah untuk Perodua.

BACA: ŠKODA Kodiaq vRS, ADAKAH INI SUV ATAU KERETA SPORT?

BACA: ŠKODA FABIA DAN ALKISAH TIGA KETURUNANNYA

Share this post

scroll to top