SPORTAGE MODEL KIA PALING LARIS, JUALAN 2018 NAIK SEDIKIT

SHARE

Tahun 2018 adalah tempoh yang mencabar untuk ekonomi dunia. Ia kesan daripada pembetulan (correction) ekonomi global dan pertembungan perdagangan di antara dua kuasa besar iaitu Amerika Syarikat dan China.

Kesan daripada ini boleh dilihat pada data-data ekonomi atau indikator paling mudah ialah jualan kenderaan.

Sekarang juga adalah tempoh pengeluar mengisytiharkan jualan mereka dan tahun lalu industri ini turut mempunyai drama tersendiri.

Mampukah Kumpulan Volkswagen mengekalkan takhta pertama jualan seperti tahun lalu? Bagaimana pula dengan Toyota Motor Corporation? Atau Perikatan Renault-Nissan-Mitsubishi berjaya menduduki tempat tiga teratas?

Masing-masing masih memegang data namun pengeluar dari Korea Selatan ini tampil awal.

Kia Motors Corporation pada 2 Januari telah mengumumkan jualan global sepanjang 2018 untuk kereta penumpang, kenderaan rekreasi dan kenderaan komersil.

KIA SPORTAGE SERBA BAHARU

Jualan keseluruhan syarikat ini ialah sebanyak 2,812,200 yang menyaksikan peningkatan sebanyak 2.4 peratus berbanding tahun 2017.

Jualan di Korea meningkat sebanyak 1.9 peratus (531,700) dan 2.5 peratus (2,280,500) di pasaran luar negara berbanding tahun 2017.

Pada bulan Disember 2018, Kia berjaya menjual 241,119 kenderaan di peringkat global iaitu peningkatan sebanyak 6.3 peratus berbanding tempoh sama pada 2017.

Daripada jumlah tersebut, 198,999 adalah jualan luar negara dengan peningkatan sebanyak 10.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Model manakah yang paling digemari pelanggan? Angka jualan menunjukkan Sportage adalah model paling laris dan terjual sebanyak 501,367 unit.

Di tempat kedua ialah Rio yang turut dikenali sebagai K2 di China dan Pride di Korea Selatan dengan jualan berjumlah 355,852 unit. Berada di rangking ketiga ialah Forte atau K3 dengan jualan sebanyak 328,504 unit.

Daripada angka yang dicatat ini sah untuk dikatakan bahawa SUV adalah pilihan ramai dan diikuti kereta hatchback. Sedan pula masih mempunyai permintaan yang tinggi walaupun dihimpit dengan pelbagai saingan daripada segmen SUV.

Kia Forte 2019

Untuk tahun 2019, Kia mensasarkan jualan global sebanyak 2.92 juta unit. Walaupun peningkatan tersebut sederhana namun kejayaan mempertahankan jualan sedia ada adalah satu kejayaan besar.

BACA: ALKISAH KIA SPORTAGE – LAGENDA SUV KIA

BACA: KIA ProCeed Shooting Brake – MASIH INGAT KIA RIO GEN PERTAMA?

Share this post

scroll to top