Buletin

SPYSHOT PROTON IRIZ – KINI LEBIH JELAS, BILA NAK LANCAR NI?

Pagi tadi, seorang pembaca setia Mekanika Malaysia ada berkongsi dua keping gambar model kompak yang bakal diperkenalkan oleh Proton, Iriz. 

Kalau sebelum ini cuma gambar dengan pelekat kabur pada badannya, kali ini gambar yang dirakam nampaknya lebih jelas. Kalau dilihat pada latar belakangnya, ia memang diambil dari saluran pengeluaran di kilang Proton.

Jika benar, ini merupakan model facelift Iriz dengan kod MC2. Model berwarna putih itu mungkin menggunakan enjin bersesaran 1.3 liter standard berkuasa 94hp dan tork 120Nm. Pada model sebelum ini, Iriz turut ditawarkan dengan enjin 1.6L berkuasa 107hp dan tork 150Nm. Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear CVT atau manual lima kelajuan.

Secara peribadinya, saya sukakan rekaan belakang yang nampak cukup kemas. Dapat dilihat dengan jelas bahawa ia dibahagikan kepada dua warna hitam putih. Manakala emblem Proton ditulis melintang dengan jarak agak luas, dah macam Volvo pun ada.

Perubahan paling ketara pastinya pada bahagian hadapannya. Iriz facelift kini didatangkan dengan gril nipis dan kemasan krom yang mengkuti bentuk logo Proton. Seperti yang boleh dilihat, lampu utama diambil daripada model sedan Persona. Penampilan tersebut dikemaskan lagi dengan lampu nyalaan siang (DRL) LED yang diposisikan pada corong pengambilan udara.

Iriz dilancarkan pertama kali pada tahun 2014, memang sudah sampai masanya untuk Proton menambah baik model ini agar dapat menarik minat pengguna tempatan.

Selepas mendapat maklum balas daripada pengguna, Proton ada membuat penambahbaikan pada Iriz. Antara yang ditukar ialah cagak enjin, sistem ekzos dan penyerap bunyi lebih berkualiti. Hasilnya, tahap NVH dikatakan jauh lebih baik. Untuk memberi pemanduan yang lebih lancar, ECU dan unit kawalan transmisi CVT telag disemak semula.

Sehingga kini, Proton masih berahsia tentang bilakah mereka akan melancarkan Iriz facelift. Tunggu sahajalah..

Google ads
Back to top button