SSANGYONG SERTAI RALI DAKAR – ACARA UNTUK SUV TULEN DAN BUKAN ACAH-ACAH SUV

SHARE

Rali Dakar bukan calang-calang perlumbaan rali. Acara lasak dan mencabar ini bakal memasuki edisi ke-40 bermula dari Peru pada 6 Januari depan hingga 17 Januari yang berakhir di Lima.

Ratusan kenderaan bakal bertanding dan pengumuman terbaru ialah dari SsangYong. Syarikat dari Korea Selatan yang kini dimiliki oleh Mahinda & Mahindra bakal menggunakan Rextor DKR hasil ubah suai khas SsangYong Motorsport di Sepanyol.

Penyertaan SsangYong dalam Rali Dakar dilihat begitu sesuai kerana syarikat ini hanya mengeluarkan SUV dan imej yang lasak serta berketahanan tinggi cocok dengan mereka.

Mitsubishi YE-Triton-Mrec-Desktop

Rexton DKR dengan ubahsuai ekstrem ini tampil dengan bentuk gayaan buggy yang nampak begitu ranggi. SUV rali ini dibina supaya kukuh, laju dan ringan bagi mendepani pelbagai cabaran lasak.

Rextor DKR pacuan roda belakang ini bakal bersaing dalam kategori T1-3 khusus untuk kenderaan 2WD dengan enjin petrol.

Ia digerakkan oleh enjin V8 berkuasa 450 hp dengan berat tanpa penumpang kurang daripada 1,900 kg. Buggy ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 4.4 saat dengan kelajuan maksimum 195 km/j.

Enjin V8 tersebut dipasang pada bahagian belakang tengah untuk keseimbangan berat di antara gandar depan dan belakang. Sistem pemetaan dikawal oleh MoTec untuk larasan dalam waktu sebenar (real time).

Transmisi yang digunakan adalah jenis sequential enam kelajuan dari Sadev SL90-23. Klac tiga cakera seramik mampu menahan tork sehingga 1,500 Nm. Differential Torsen pula mempunyai kapasiti ‘penguncian’ tinggi sewaktu pecutan.

Set roda dipasangkan tayar 17 inci Yokohama Geolandar M/T G003 37X12.50R untuk ketahanan tinggi, cengkaman dan serapan semasa melalui permukaan mencabar manakala rim pula dari jenama Raceline berukuran 17×7.

Tekanan angin tayar pula boleh dilaras secara automatik dari dalam kabin pelumba. Tangki minyak adalah dari jenama Pyrotect.

Badan buggy ini dipasang di atas casis multi-tubular diperbuat dari chrome-molybdenum dengan kimpalan TIG untuk ketegaran pergerakan torsi yang tegar.

Badan kereta ini mempunyai darjah kemudi yang baik serta aerodinamik selain lincah dan senang untuk dikendalikan. Bahagian suspensi mempunyai dua sambungan (arm) dengan penyerap hentak dari jenama King.

Tugas pembrekan digalas oleh jenama aftermarket terkenal iaitu AP yang mempunyai pembebasan haba baik dan tahan kalisan.

SsangYong Rextor DKR ini bakal dipandu oleh pelumba Sepanyol, Óscar Fuertes dengan pemandu arah Diego Vallejo Rextor. Mereka berdua sebenarnya adalah pasangan yang sama memandu SsangYong Tivoli pada Rali Dakar tahun lalu.

SsangYong Rexton asal. Ada sebuah lagi Rexton iaitu pikap.

Keputusan yang diperolehi pasangan ini pada musim lalu agak baik apabila memenangi tempat rookie kedua dan menduduki tempat 32 keseluruhan. Saingan musim lalu menyaksikan kurang daripada separuh kereta berjaya menamatkan perlumbaan.

Rali Dakar 2019 yang berlangsung selama 11 hari mempunyai 10 peringkat perlumbaan dengan jarak keseluruhan melebihi 5,000 kilometer. 70 peratus daripadanya melalui bukit pasir dan kawasan berpasir.

Rali kali ini adalah perlumbaan kesepuluh sejak ia dilangsungkan di Amerika Latin.

BACA: MASIHKAH DIKAU INGAT? SSYANGYONG STAVIC?

BACA: ADA YANG BERANI TIRU? SSANGYONG JUAL KERETA TANPA BUNGA (FAEDAH)

Share this post

scroll to top