Buletin

SUBARU LEGACY 2020 – ENJIN TURBO 2.4L, SISTEM EYESIGHT DAN 2 VARIAN TOURING & SPORT

Subaru telahpun melancarkan model Legacy pada acara Chicago Auto Show 2019.

Disifatkan jauh lebih baik berbanding model terdahulu, ia akan bersaing secara langsung dengan Toyota Camry, Honda Accord dan Mazda6.

Bagi pasaran Amerika, Legacy ditawarkan dalam dua varian iaitu Touring dan Sport. Jentera itu dijangka mula berada di pasaran pada musim luruh nanti.

Varian Touring dipasang dengan kulit Nappa (pertama untuk Subaru), kemasan hitam berkilat pada tiang, hendal tangan krom dan perumah cermin sisi berwarna satin.

Perbezaan paling ketara model Sport ialah penggunaan enjin aspirasi biasa 2.5 liter. Selain bampar belakang baharu, kemasan hitam berkilat pada gril radiator, perumah cermin sisi berwarna hitam dan teknologi keselamatan aktif.

Elemen sporty diserlahkan lagi menerusi pedal aluminium, jahitan benang merah pada tempat duduk dan stereng.  

Sedan segmen D itu kini hadir dengan pilihan enjin Boxer turbo bersesaran 2.4 liter yang mampu menjana kuasa sehingga 260hp dan tork 35Nm. Meningkat daripada 182hp pada model sebelumnya.   

Enjin itu kemudian dipadankan dengan transmisi CVT Lineartronic yang membolehkannya memecut dari 0-100km/j dalam masa cuma 6.1 saat.

Dari segi penggunaan minyak pula, Subaru menyatakan ia adalah sekitar 7.3 l/100km untuk corak pemanduan berbeza.

Kalau sekali pandang, Legacy seperti tidak jauh berbeza dengan model yang digantinya. Tetapi harus tahu bahawa ini adalah model serba baharu. Antara perubahan yang diterima ialah fender lebih lebar dan trunk sedikit tinggi untuk tampil lebih mantap.

Ruang kabin Legacy lebih mewah apabila dipasang dengan paparan tablet infohibur bersaiz 11.6 inci. Ia menawarkan sistem ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Tidak cukup? Jangan risau kerana Subaru menawarkan teknologi di dalam kereta yang dikenali sebagai Subaru Starlink. Bagi peminat audio, anda pasti berpuas hati dengan sistem bunyi premium Harman Kardon.  

Ruang meletak barang juga bertambah menjadi 427 liter, manakala lantai kargonya 1.4 inci lebih dalam.

Sebagai sebuah model baharu, Legacy dipasang dengan sistem bantuan pemandu, EyeSight.

Ia merangkumi beberapa ciri keselamatan seperti Lane Watch, DriverFocus Distraction Mitigation System, Blind Spot Detection dengan Lane Change Assist serta Rear Cross Traffic Alert.

Google ads
Back to top button