Buletin

SUBARU WRX STI TYPE RA NBR SPECIAL – SEDAN 4 PINTU TERPANTAS DI THE RING

Memegang rekod di Nürburgring Nordschleife adalah satu kemegahan untuk pengeluar kereta. Bukan sahaja memegang rekod malah kereta berprestasi kebiasaannya melakukan ujian pembangunan di Nürburgring.

Litar itu mempunyai ciri-ciri unik dan mampu memenuhi apa yang diperlukan oleh pasukan jurutera.

Ini pula rekod baharu yang dipegang oleh Subaru. Prodrive telah menghasilkan sebuah model iaitu Subaru WRX STI Type RA NBR Special yang kini merupakan kereta sedan empat pintu terpantas di The Ring.

Masa yang dicatatkan oleh kereta itu ialah 6:57.5 di litar berjarak 20.6 km. Buat mereka yang meragui, masa tersebut direkod menggunakan alat pemasa Nürburgring dan disahkan oleh pegawai litar.

Kereta itu bukan sahaja pantas di Nürburgring malah pernah mencatat rekod masa di Isle of Man TT dan Goodwood Festival of Speed (ketiga terpantas keseluruhan).

Berbeza dengan Honda Civic Type R (kereta 2WD terpantas) yang mirip kepada versi jalanan, WRX ini menggunakan spesifikasi rali.

Pada asasnya, ia adalah Subaru WRX STI 2017 standard dengan enjin 2.0 L Boxer WRC dan sistem pacuan Symmetrical All-Wheel Drive. Lebih tepat ia dibina oleh Prodrive.

Subaru WRX STI Type RA NBR Special menggunakan rangka keselamatan (roll cage) penuh yang dikimpal terus ke badan kereta untuk lebih ketegaran dan kekuatan.

Enjin 2.0 L Boxer spesifisikasi WRC itu mempunyai intake 75 mm dengan boost turbo pada 25 psi. Enjin itu berkuasa lebih dari 600 hp pada 8,500 rpm. Mengikut apa yang dikira oleh Prodrive, kelajuan maksimum kereta ini pada gear teratas ialah 288 km pada 8,500 rpm.

Kotar gear juga jenis WRC dengan klac automatik. Ia diubahsuai dengan fungsi hidraulik untuk operasi pedal tukaran gear. Masa tukaran adalah antara yang terpantas di antara 20 hingga 25 milisaat.

Pakej aerodinamik turut direka semula dengan mengambil teknologi Formula 1. Pada kelajuan maksimum, ciri-ciri aerodinamik kereta ini mampu menghasilkan sekitar 295 kg downforce.

Prodrive memasang DRS (Drag Reduction System) atau sistem sayap belakang sama seperti yang terdapat pada kereta Formula 1. Sayap itu beroperasi menggunakan gabungan kuasa elektrik dan hidraulik dan boleh dikawal oleh pemandu dari stereng. Sayap boleh dibuka maksimum untuk downforce penuh atau seretan (drag) semasa membrek dan ketika selekoh berkelajuan tinggi.

Apabila memandu di laluan panjang pula, sayap itu boleh dilaras semula untuk mengurangkan downforce atau seretan.

Masa untuk melaras sayap itu secara penuh hanya mengambil masa kurang dari 20 milisaat sahaja.

 

Google ads
Back to top button