SUV ELEKTRIK KIA INI MAMPU BERGERAK 450 KM DENGAN CAJ PENUH!

SHARE

Salah satu perkara yang kurang menarik tentang kenderaan elektrik atau EV ialah jarak perjalanannya. Jika setakat cas hanya boleh bergerak di bawah 200 km belum tentu lagi ramai yang akan tertarik.

Sebagai perspektif, katalah perjalanan berulang alik ke tempat kerja dan pelbagai urusan harian ialah 60 km sehari ini bermakna sekurang-kurangnya pemilik perlu mengecas EV mereka seminggu sekali.

Itu jika urusan harian. Bagaimana pula jika urusan kerja anda melibatkan jualan dan perlu berulang alik berjumpa klien lebih daripada 100 km sehari? Jika tinggal di KL dan kampung di Arau? Rantau Panjang?

Leceh pula nak kena kerap cas kereta.

Pengeluar kereta cuba mengubah keadaan tersebut dan standard pada hari ini ialah sekali cas penuh, jarak perjalanan lebih daripada 400 km.

Lebih jauh lebih baik. Ini yang berjaya dicapai oleh Kia apabila mengumumkan sebuah SUV kompak Niro EV yang mampu bergerak sehingga 450 km.

Niro EV dipamerkan di Pameran Kenderaan Antarabangsa Busan 2018 di Korea yang diadakan pada 7 Jun lalu. Niro EV bukanlah EV pertama Kia memandangkan sebelum ini Kia telah memasarkan Soul EV dan menerima sambutan hangat dari pasaran Eropah.

Niro sebenarnya adalah famili kenderaan mesra alam Kia dengan beberapa lagi nadi kuasa seperti hibrid dan plug-in hybrid.

Seperti model popular Kia yang lain, Niro EV direka bentuk di Studio Rekaan Kia di California, Amerika Syarikat dan Namyang, Korea. 

Menarik tentang reka bentuk Niro EV ialah permukaan badannya dizahirkan tanpa dramatik dan tampil bersahaja berbanding dengan model-model lain. 

Keputusan tersebut dibuat berdasarkan konsep  ‘Clean and High-tech’ jadi tidak hairanlah rekaannya agak bersahaja. Bahagian gril Niro EV masih mengekalkan identiti hidung harimau cuma nampak janggal apabila ditutup terus dan pada bahagian tepi gril ditempatkan port pengecasan.

Untuk Niro EV spesifikasi Eropah, bateri yang dibekalkan adalah jenis kapasiti tinggi dengan kuasa 64 kWh dari jenis lithium polimer. Sekali cas penuh, Niro EV boleh bergerak sehingga 450 km.

Menggunakan pengecas pantas 100 kW, masa yang diperlukan ialah 54 minit bagi memperolehi 80 peratus kuasa. Selain itu, pembeli juga diberi pilihan bateri 39.2 kWh lithium polimer dengan jarak perjalanan sehingga 300 km sekali pengecasan penuh.

Suatu yang gempak tentang EV ialah kuasanya. Niro EV dipacu oleh tayar depan melalui motor berkuasa 150 kW atau 204 ps. Tujahannya pula ialah sekuat 395Nm! Pecutan dari 0 hingga 100 km/j pula mengambil masa 7.8 sat.

Selain teknologi nadi kuasa canggih, Niro EV turut dilengkapi sistem bantuan pemanduan seperti Forward Collision Warning dengan Forward Collision-Avoidance Assist, Smart Cruise Control dengan Intelligent Stop & Go dan Lane Following Assist.

Mengikut perancangan, Niro EV akan mula dijual di Korea bermula tahun kedua tahun ini dan kemudian ke pasaran utama lain termasuk Eropah.

Ini lah masa depan, jika sebelum ini perancang bandar atau lebuh raya mengambil kira stesen minyak di dalam pembangunan mereka, sudah sampai masanya infrastruktur untuk EV seperti poin pengecasan diletakkan sekali.

Ini lah masa depan dan idea bagus jika Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu memulakan projek kereta nasional baharu!

Share this post

scroll to top