Buletin

SUZUKI BALENO KINI DI PASARAN INDONESIA

Harus diakui, pengaruh Suzuki di Indonesia agak kuat juga jika dibandingkan di tempat kita. Manakan tidak, model lama seperti APV itu pun bersepah di sana. Di sini, baik motosikal mahupun kereta, jenama Suzuki memang dah lama kena bungkus ikat tepi. Motosikal Suzuki pun lagilah terlungkup. Padahal RG Sport tu punyalah King zaman M Meganathan dahulu. Tapi tidak bagi negara jiran, pasaran kereta dan motosikal jenama Suzuki masih subur di Indonesia. Terbaharu, Suzuki Baleno pula bakal memasuki pasaran.

BACA : SUZUKI SWIFT 2017 – PROTON TAK MAU REBADGE YANG INI?

BACA : IGNIS – CROSSOVER KOMPAK GLOBAL DARIPADA SUZUKI

Model hatchback terbaharu yang akan dijual oleh PT Suzuki Indomobil Sales (SIS), selaku pengedar rasmi bagi Indonesia bakal membawa masuk secara Completely Built-Up (CBU) dari kilang utamanya di India. Suzuki Baleno ini pasti menjadi pilihan buat mereka yang inginkan sesuatu yang bergaya tetapi dalam masa tidak perlu berkompromi dari segi ruang untuk membawa ahli keluarga serta bagasi untuk berlibur di hujung minggu. Secara asasnya Baleno lebih besar daripada Swift dengan penumpang di belakang tidak perlu bimbang sama sekali lutut berlaga dengan tempat duduk kerusi pemandu. Ruangan but Baleno pula cukup luas dan mempunyai kapasiti 355 liter. Paling luas dalam Segmen B hatchback dan ianya amat cocok sekali dengan budaya Indonesia yang turut gemar berkelana di hujung minggu.

Sungguhpun dibawa masuk secara CBU, tetapi pihak SIS berkata bahawa Baleno yang bakal dijual kelak akan disesuaikan dengan budaya dan bentuk muka bumi Indonesia. Paling ketara adalah Baleno pasaran Indonesia kelihatan sedikit tinggi berbanding pasaran negara lain. Tahap kelegaan buminya adalah 170 mm. Hal yang demikian adalah kerana jarak permukaan jalanraya di Indonesia secara keseluruhannya masih banyak yang belum menyenangkan sang supir. Banyak tanah dan batu kerikil daripada aspal.

Pilihan Pemain Utama dengan skrin sesentuh pasti menambat hati golongan muda yang disasarkan bagi pasaran di sana yang sudah tentu kelihatan amat ganteng jika dimiliki kelak. Manakala nadinya adalah berketurunan sama seperti Ertiga, K14B yang bersesaran 1373 cc yang semestinya memadai untuk menggerakkan Baleno ini dengan cukup tangkas.

Menurut Harold Donnel, Head Brand Development & Marketing Research 4W, mereka berharap Suzuki Baleno ini menjadi pilihan golongan muda berkerjaya yang inginkan sebuah model hatchback yang lincah dan tangkas tapi dalam masa yang sama inginkan keselesaan sama seperti sebuah sedan. Harga yang ditawarkan pula adalah di bawah Rp200 juta (RM64,261). Kalaulah Proton tak jadi menikah dengan gadis China tempohari, pasti kita semua boleh impikan Baleno ini ditukar logonya dengan Harimau, iya tak?

Sumber: Dapurpacu

Google ads

B K

Back to top button