SUZUKI KATANA HASIL KERJA TANGAN ACP CUSTOMS

SHARE

Bila Suzuki Katana diperkenalkan kepada dunia pada penghujung tahun 80-an, ia telah menjadi motosikal produksi paling laju di dunia kerana menggunakan enjin 1,100 cc sebaris empat yang dipinjam daripada saudara terdekatnya iaitu Suzuki GS1100.

Menariknya, projek menghasilkan Katana ini bermula di Jerman, syarikat Suzuki Deutchland mahukan motosikal yang mampu menarik perhatian pelanggan tempatan. Sebuah firma rekaan Jerman, Target Design telah diupah untuk tujuan tersebut. Projek ini telah diketuai oleh Hans Muth, bekas ketua pereka BMW Motorrad. Muth kemudiannya berganding dengan dua lagi pereka ternama iaitu Jan Fellstrom dan Hans-Georg Kasten. Maka bermulalah projek untuk menghasilkan sebuah motosikal baru menggunakan Suzuki GS1100 sebagai asas.

Rekaan baru Katana memang membuka mata banyak pihak. Garisan badan yang tajam, rekaan fairing yang lain dari yang lain begitu juga dengan tangki minyaknya memang cukup unik pada zaman tersebut. Malah rekaan itu juga banyak mempengaruhi rekaan motosikal lain selepasnya. Bahkan bagi yang tidak pernah melihat Katana, mereka mungkin menyangkanya sebuah motosikal moden.

Suzuki Katana yang ditampilkan di sini sebenarnya telah diubahsuai dari sebuah model standard. Banyak peralatan naik taraf yang dipasang sebenarnya memang diidamkan oleh para jurutera yang merekanya pada penghujung tahun 70-an tetapi teknologi untuknya masih belum wujud pada waktu itu.

BACA: DARI PEDANG TAJAM MENJADI SENJATA TERULUNG – SUZUKI KATANA

Katana 2.0 ini merupakan hasil air tangan ACP Customs yang beribu pejabat di Hamilton, Ontario. ACP telah diasaskan oleh Mick Ackermann pada tahun 2011 dan banyak menghasilkan model-model custom motosikal terkenal

Proses bermula dengan meleraikan motosikal ini satu persatu untuk memilih peralatan mana yang perlu disingkirkan dan mana yang boleh dikekalkan. Satu keputusan dicapai yang antara kelemahan Katana asal ialah bahagian kerangkanya. Untuk itu bahagian belakang telah diperkukuhkan dengan struktur tambahan berbentuk segitiga. Mana-mana bahagian yang dirasakan tidak perlu telah dibuang untuk mengurangkan berat.

Kemudian bahagian suspensi di mana untuk bahagian hadapan, keseluruhan bahagian hadapan telah digantikan dengan komponen Suzuki GSXR1100 tahun 2006. Ia lengkap dengan fork hadapan terbalik keluaran Ohlins dan cakera-cakera serta rotor brek daripada Brembo. Bahagian belakang turut menggunakan kombinasi brek daripada Brembo dan sepasang penyerap hentak Ohlins.

Enjin asal 1100 cc telah dinaiktaraf kepada 1200 cc dengan penambahan karburator-karburator Keihin FCR39. Ekzos asalnya juga telah digantikan dengan sistem ekzos titanium 4-into-1 keluaran Nitro Racing. Sistem elekttik asal yang sudah dimamah usia telah digantikan dengan sistem Dyna2000 talaan digital. Selain daripada itu ia turut dilengkapkan dengan bateri anti-graviti, Motogadget M Unit, M Button, meter digital Motoscope Pro dan sistem penghidup M Lock RFID.

Hasilnya memang boleh tahan kerana ia sudah menjadi Katana yang paling laju di dunia. Ingat, pedang lama bila diasah memang tak kalah bila dibandingkan dengan pedang baru.

 

Share this post

scroll to top